Wan Sharmila manis bertudung

0
243
WAN Sharmila bertudung dan yakin dengan rezeki dalam bidang seni.
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

PELAKON Wan Sharmila Wan Mohamed yang ditemui dalam majlis sidang media Anugerah Skrin 2019, Rabu (16 Oktober) lalu menjadi perhatian ramai kerana penampilannya yang sudah bertudung itu.

Jelas Wan Sharmila, beliau sudah mula memakai tudung sewaktu pergi bercuti di Osaka, Jepun baru-baru ini sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-38 pada 12 Oktober lalu.

Beliau yang berlakon dalam telefilem Remuk, terbitan P & D Pictures Sdn. Bhd., yang tercalon untuk kategori Drama Terbaik ASK 2019 itu berkata, niat untuk menutup aurat sudah lama terpahat di hati.

KETIKA bercuti di Osaka, Jepun Wan Sharmila sudah pakai tudung.

“Keinginan untuk memakai tudung dah lama terpendam. Kalau ada yang perasaan sewaktu berlakon drama lagi, saya banyak memakai tudung, saya yang minta pada pengarah untuk pakai tudung bagi watak tertentu.

“Saya mula pakai tudung ni sewaktu pergi bercuti dengan kawan-kawan di Osaka, Jepun baru-baru ini. Saya cuba beranikan diri memakai tudung sewaktu di sana supaya bila balik bercuti, taklah rasa kekok. Alhamdulillah, niat saya itu dipermudahkan Allah,” katanya.

Pelakon serba boleh itu juga tidak kisah jika ada yang berkata tawaran berlakon untuknya akan berkurang apabila sudah bertudung. Baginya, semua itu adalah ketentuan Allah dan yang pasti beliau selesa dengan penampilan sekarang.

“Saya rasa selesa dan suka dengan imej bertudung, lagipun sudah tiba masa untuk saya melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan. Saya fikir kalau kita cuba buat yang terbaik dan minta pada Allah, pasti Dia beri.

“Pasal tawaran berlakon berkurangan apabila bertudung, itu saya tak pasti. Kalau kita tengok ramai saja pelakon bertudung yang berlakon. Saya percaya setiap orang ada rezeki masing-masing,” katanya tanpa risau.

Bagaimanapun Wan Sharmila tidak menafikan, apabila seseorang itu cuba untuk melakukan kebaikan pasti banyak dugaan yang perlu ditempuh. Namun beliau akan tetap beristiqamah dan yakin dengan keputusan (bertudung) yang telah diambil.

Selain berlakon, Wan Sharmila juga sibuk berniaga produk suplemen jamu Aura Kasih bersama-sama tiga rakan artis, Nina Iskandar, Ezlynn dan Faye Kusyairi sejak April lalu.

“Sekarang saya tak sibuk berlakon sangat tapi saya sibuk meniaga Aura Kasih, suplemen jamu untuk perempuan dan lelaki. Sibuk sangat sebab saya sering ke Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei.

“Kami mula jual Aura Kasih sejak April lalu dan kami sering menyertai festival jualan termasuklah di Brunei dan Singapura. Alhamdulillah dapat maklum balas yang baik daripada pengguna. Selain itu kami juga menjual atas talian,” katanya yang seronok berniaga itu.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here