Keindahan Bukit Fraser’s semakin tercemar oleh perkhemahan rambang pengunjung

1
132
PONDOK rehat diambil alih untuk keluarga berkhemah, justeru menafikan pengunjung lain menggunakannya. /Foto BebasNews.

 

Oleh FETTY RARA

 

APA masalahnya dengan negeri Pahang untuk menangani pelbagai masalah yang meruntun aset destinasi pelancongan Bukit Fraser?

Pada suatu masa Bukit Fraser yang begitu dibanggakan oleh negeri Pahang mampu mempertahankan keaslian alam sekitarnya serta legasi sejarah yang menjadi tarikan pelancong dari serata dunia.

Jika dahulu kunjungan ke situ mengagumkan dengan deretan pokok bunga dahlia pelbagai jenis dan warna di mana-mana ceruk penempatan dingin yang comel ini, tetapi sekarang spesies tersebut hampir pupus langsung.

Banyak jenis tumbuhan yang dikira endemik bagi kawasan tersebut kini sudah tiada dan digantikan dengan jenis-jenis tumbuhan yang diimport.

Kepelbagaian bunga ros masih kekal di sana-sini, tetapi bilangannya semakin kurang.

Pernah suatu ketika dahulu mendiang ahli sejarah semula jadi Sir David Attenborough datang ke Bukit Fraser’s untuk membuat kajian dan penggambaran untuk sebuah siri BBC.

Begitu hebat tarikan tempat ini.

Bagaimana pun, sekarang keadaannya telah banyak berubah.

INI bukan tempat berkhemah tetapi rumah wakaf untuk pengunjung berehat sementara dan berkelah / Foto BebasNews

Banyak boleh dibangkitkan tentang kemerosotan kualiti aset di Bukit Fraser’s tetapi yang paling memeningkan kepala kumpulan pencinta alam dan juga penduduk setempat yang berjumlah hanya kira-kira 500 orang itu ialah penularan aktiviti berkhemah secara rambang dan sesuka hati di mana sahaja tidak kira sesuai atau pun tidak.

Bebasnews pernah melaporkan tentang ‘wabak’ perkhemahan ini pada September lalu, bagaimana pun lawatan rambang yang dilakukan susulan itu menyaksikan keadaan semakin teruk.

Pihak berkuasa Bukit Fraser’s, iaitu Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser’s (PKBF) dan Majlis Daerah Raub (MDR) yang bertanggungjawab ke atas presint alam ini nampaknya seolah-olah tiada mempunyai tenaga atau kemahuan untuk menangani masalah tersebut walaupun amat ketara rungutan daripada orang ramai dan pelancong.

Bukan tidak ada kawasan khas untuk pengunjung berkhemah di Bukit Frasers, tetapi menurut beberapa orang yang ditemui proses mendapat kebenaran agak sukar dan lokasi perkhemahan yang bertempat di sebuah kawasan berhampiran dengan Istana Sri Pahang sentiasa kelihatan berkunci, sementara kemudahan yang disediakan nampak begitu usang dan tidak diselenggarakan dengan elok.

KHEMAH menyalin pakaian didirikan di tempat penanaman bunga / Foto BebasNews.

Dibanyak negara pihak berkuasa amat prihatin dan sensitif dengan aktiviti perkhemahan. Berkhemah secara rambang berhampiran tempat awam dan kawasan perumahan dilarang sama sekali dan memasang tali merintang untuk tujuan menyidai pakaian dan untuk lain-lain tujuan juga dilarang.

Dalam pada itu pula mereka yang berkhemah tidak boleh menggunakan kemudahan tandas dan bilik air di hotel-hotel berhampiran kerana kawasan perkhemahan telah menyediakan semua kemudahan asas.

Tetapi, di Bukit Fraser’s sekarang keadaan sudah jadi macam zaman liar ‘frontier wild west’ koboi dengan semakin banyak khemah dinaikkan setiap hujung minggu. Ini mungkin kerana bermula daripada individu pertama berkhemah yang kemudian ditularkan pengalamannya hingga berpusu-pusu orang mengikut jejaknya.

Demi mengekalkan keindahan alam sekitar di Bukit Fraser’s diharap pihak berwajib, termasuk Exco Pelancongan Negeri Pahang duduk semeja dengan pihak PKBF, Jabatan Hutan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pengusaha bisnes tempatan untuk melakar dan menguatkuasakan peraturan berhubung perkhemahan rambang di ‘Little England’ sebelum terlambat.

 

BERKHEMAH di tepi jalan menuju Istana Sri Pahang / Foto BebasNews.

 

HAMPIR setiap hujung minggu pondok wakaf untuk berehat dan berkelah diambil alih / Foto BebasNews.

 

TAPAK perkhemahan yang sesuai dengan serba kelengkapan tidak digunakan / Foto BebasNews.
-BebasNews

 

 

 

Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here