UM tidak tarik balik ijazah siswa protes di pentas konvokesyen

0
148

UNIVERSITI Malaya (UM) memaklumkan tidak akan menahan skrol dan transkrip akademik, mahupun menarik balik ijazah aktivis mahasiswa yang membuat protes di pentas konvokesyen baru-baru ini.

Pengerusi lembaga pengarah UM Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata, aktivis itu Wong Yan Ke juga telah dimaklumkan boleh mengambil transkrip akademiknya pada bila-bila masa bermula 18 Oktober.

“Pengedaran skrol dan transkrip akademik secara berpusat dilakukan mulai 12 hingga 20 Oktober 2019.

“Graduan juga boleh mengakses dan mencetak skrol atas talian melalui sistem graduand.um.eu.my mulai Oktober 2019,” katanya dalam kenyataan.

Pada 15 Oktober lalu, Wong selepas mengambil skrol ijazahnya turun ke bawah pentas dan membuka plakad dan melaungkan: “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia”.

Plakard itu tertera gesaan agar Abdul Rahim meletakkan jawatan dengan mendakwanya menjadi boneka kepada ahli politik, mencabul kebebasan akademik dan gagal menyelesaikan masalah kewangan universiti.

Susulan itu, terdapat sejumlah pihak yang menggesa pihak universiti menarik balik ijazah Wong yang merupakan graduan kejuruteraan awam.

Dalam pada itu, Mohd Azzman berkata UM sentiasa mendukung kebebasan akademik dan bersuara setiap individu yang bernaung di bawahnya, dan sentiasa dianggap antara universiti “yang amat liberal di negara ini”.

“Bagaimanapun, dalam melaksanakan kebebasan ini, hak orang lain juga perlu dihormati…Kami berpandangan perbuatan tersebut (protes ketika konvokesyen) tidak menghormati istiadat dan mencermarkan majlis.

“Beliau (Wong) tidak menghormati graduan yang diraikan serta ibu bapa dan tetamu yang hadir,” katanya, sambil memohon maaf kepada semua yang hadir atas perkara itu.

Wong kini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkenaan kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan, selepas sepuluh laporan polis dibuat terhadapnya.

Terdahulu, Wong berkata protesnya itu susulan ucapan Naib Canselor UM, Abdul Rahim Hashim di Kongres Maruah Melayu 6 Oktober lalu.

Pertahan penglibatan UM dalam Kongres Maruah Melayu

Abdul Rahim yang juga ketua eksekutif kongres itu antara lain dilaporkan berkata dominasi politik Melayu telah hilang selepas perubahan kerajaan dan hak istimewa orang Melayu dipersoal, selain memberi ingatan agar tiada pihak yang mencabar kontrak sosial.

UM turut terlibat sebagai penganjur kongres itu, bersama-sama beberapa universiti awam lain. Penglibatan universiti awam itu turut dikritik pelbagai pihak, antaranya Naib Presiden Umno Mohd Khaled Nordin.

Mengulas berkenaan kongres itu, Mohd Azzam berkata pihak universiti melihat kongres itu sebagai wacana akademik untuk “mengenal pasti, membincang dan mencadangkan resolusi” kepada pelbagai cabaran yang dihadapi orang Melayu.

“UM sentiasa mengangkat penyebaran ilmu dan wacana ilmiah…Atas dasar itu jugalah kongres dianjurkan.

“Bagaimanapun, pihak pengurusan universiti akan lebih berhati-hati dan melaksanakan ketelitian wajar yang lebih ketat dan dinamik agar program yang disertai mempertimbang semua aspek kepentingan negara,” katanya lagi.

http://bit.do/fdrXc

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here