Apabila pegar makan padi…

0
323
KETUA Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, Pengarah Bahagian Forensik SPRM, Husin Mohamad Nasir dan Ketua Cawangan Audio Video, Bahagian Forensik SPRM, Badri Azni melihat video penyeludupan di sempadan ketika sidang media khas berkaitan pembolosan sempadan negara akibat daripada aktiviti rasuah di Putrajaya baru-baru ini / NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Oleh AHMAD ABD HAMID

HARAPKAN pegar, pegar makan padi. Harapkan sokong, sokong membawa rebah.

Inilah perumpamaan terbaik untuk menggambarkan peri laku anggota penguatkuasa yang diharapkan menjaga kepentingan negara tetapi sebaliknya mereka mengkhianatinya.

Pendedahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini mengenai kegiatan penyeludupan di utara tanah air dengan dibantu oleh anggota penguatkuasa sempadan adalah sangat menyedihkan.

Mereka yang sepatutnya membanteras kegiatan ini sebaliknya hanya menjadi pemerhati dan membiarkan penyeludupan berlaku di depan mata.

Bukti rakaman video mengesahkan perlakuan ini. Ia tidak dapat disembunyikan lagi.

Lalu apa perasaan kita? Geram, marah dan kecewa semuanya berbaur apabila mereka yang diberi amanah mempersendakan amanah tersebut.

Isu melibatkan pasukan penguatkuasa tidak jujur sudah kerap kita dengar, bukan sahaja melibatkan penguatkuasa sempadan tetapi juga agensi-agensi atau jabatan kerajaan lain serta pihak berkuasa kerajaan tempatan.

Keadaan ini menimbulkan ejekan masyarakat bahawa mereka yang bekerja dalam agensi penguatkuasa ini adalah seperti berada dalam ‘lombong emas’.

Ini kerana tugas mereka terdedah dengan ruang dan peluang untuk menyalah guna kuasa dengan memperoleh habuan sebagai pulangan.

Kelompok ini menggadai etika kerja, menghina nama baik jawatan yang mereka pegang dan amanah yang diletakkan di atas bahu mereka.

Apabila sudah terbiasa dengan perlakuan tidak bermoral dan berada dalam kemewahan, keberangkalian untuk kembali ke pangkal jalan amat tipis.

Kerana sudah sebati dalam diri, ia menjadi budaya hidup yang sukar dikikis.

Namun untuk berlaku adil, bukan semua penguatkuasa bersikap tidak bermoral. Ramai yang melaksanakan tugas dengan jujur dan amanah.

Mereka ini menjunjung tanggung jawab yang diberi dengan penuh dedikasi dan tidak mudah tergoda dengan wang ringgit atau kemewahan.

Kepada mereka ini kita beri penghormatan tinggi dalam melaksanakan tugas untuk negara.

Namun kita sedih dengan sikap segelintir rakan-rakan sepasukan yang menyebabkan kesemua mendapat nama buruk. Ibarat seekor kerbau membawa lumpur semuanya habis terpalit.

Kerajaan mesti bertindak tegas tanpa kompromi mambanteras golongan yang menjadi duri dalam daging ini. Cegah sebelum merebak menjadi parah bagai anai-anai memakan kayu.

Jangan biarkan mereka merosakkan nama baik pasukan serta memusnahkan integriti rakan-rakan yang berkhidmat dengan setia.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here