B5 tarikan terbaharu di Johor

0
193

Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

JOHOR BAHRU – B5 Johor Street Market yang bakal  beroperasi mulai hujung bulan depan menjadi tarikan pelancongan terbaharu di negeri ini.

Dibangunkan dengan kos keseluruhan RM90 juta oleh Johor Corporation (JCorp), pusat komersial itu dijangka dapat menarik  kira-kira tiga juta pelancong tempatan dan asing tahun depan.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamruzzaman Abu Kassim berkata, jumlah itu mampu dicapai seiring dengan sasaran kerajaan negeri menarik lebih 17 juta pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2020, Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Cuti-Cuti Malaysia 2020.

“Selain itu, penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor juga akan mendorong kehadiran pelancong dan pengunjung ke B5 Johor Street Market,” katanya pada Majlis Jom Jumpa Penyewa dan Penyerahan ‘Brown Signage’ kepada B5, di sini.

Majlis tersebut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung.

Kamaruzzaman berkata, B5 yang diambil namanya daripada ‘Batu  5’, lokasi pusat tersebut mempunyai lima elemen utama, iaitu reka bentuk berkonsepkan ‘retail bazaar’, ‘box park’, ‘food truck’, makanan dan minuman serta hab seni dan kebudayaan.

Beliau beekata, pembangunannya dilaksanakan anak syarikat JCorp, iaitu Johor Land Berhad dan Damansara Assets Sdn. Bhd., bermula Januari tahun lalu.

Pada sidang akhbar selepas itu, beliau memaklumkan JCorp sedang mengadakan perbincangan dengan pihak agensi pelancongan bagi menjadikan B5 lokasi ‘wajib’ kepada para pelancong.

Sementara itu,  Cai Tung yakin keunikan produk yang akan ditawarkan di B5 mampu menarik lebih ramai pengunjung ke pusat komersial berkenaan yang pasti menjadi mercu tanda pelancongan baharu di negeri ini.

“Saya berharap para peniaga dapat menonjolkan produk-produk beridentitikan Johor yang hanya diperolehi di sini sahaja.

“Dengan pilihan produk yang unik dan betul, pasti orang ramai, khususnya pelancong akan ke sini untuk membeli barangan bercirikan Johor untuk dibawa pulang sebagai cenderamata untuk keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here