Hentikan menyalah, merungut

Sehingga kini MAIWP menawarkan 28 skim bantuan zakat kepada mereka yang layak. Bantuan ini meliputi aspek keperluan asasi, perubatan, pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan dakwah.

0
467

Oleh MOWARDI MAHMUD

SERINGKALI kita mendengar dakwaan pihak tertentu mempersoalkan tentang kegagalan pihak berkuasa zakat membantu mereka yang memerlukan.

Soalnya benarkah begitu? Dakwaan mereka apa gunanya wang zakat dikutip dan disimpan sedangkan ramai yang memerlukan bantuan.

Tidak kurang juga yang melemparkan tohmahan bahawa pihak berkuasa zakat tidak pandai mengurus kerana masih ramai yang memerlukan bantuan terpaksa meminta-minta daripada pihak lain.

Namun seberat mana mata memandang berat lagi bahu yang memikulkan untuk menunaikan amanah.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Hussien Al-Habshee menyatakan wang zakat bukan untuk diagihkan sesuka hati kecuali pihak asnaf yang berhak untuk menerimanya.

Misalnya, bantuan kecemasan diberikan kepada mereka berhak seperti terputus mata pencarian, contohnya kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad yang diberhentikan kerja secara mengejut.

Namun begitu, pemberian berkenaan diberikan setelah dikenal pasti tentang kelayakan mereka sebagai asnaf yang patut mendapat bantuan.

Sehingga kini MAIWP menawarkan 28 skim bantuan zakat kepada mereka yang layak. Bantuan ini meliputi aspek keperluan asasi, perubatan, pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan dakwah.

Bahkan, setiap menerusi Bantuan Kewangan Bulanan, lebih 22,000 orang asnaf disantuni dengan perbelanjaan hampir RM116 juta setahun.

Ini tidak termasuk bantuan yang diberikan kepada 44,040 pelajar bermula dari peringkat sekolah sehingga pengajian tinggi.

Malah, dalam aspek kesihatan, MAIWP membantu seramai 3,222 orang yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan perubatan termasuk pesakit buah pinggang perlu menjalani rawatan dialisis.

Berdasarkan angka berkenaan, peranan dimainkan oleh MAIWP adalah besar dan adakala mereka juga mengambil sikap yang proaktif untuk mmbantu mereka yang memerlukan.
Untuk menyalah pihak berkuasa zakat semata-mata adalah sesuatu yang tidak adil kerana orang ramai juga berperanan untuk menjadi mata dan telinga untuk memberikan maklumat tentang mereka yang perlu dibantu.

Malah, terdapat masjid yang diberikan kuasa sebagai wakil untuk menyalurkan bantuan yang disediakan pihak berkuasa zakat dalam usaha meningkatkan jangkauan dalam masyarakat.

Berdasarkan pelbagai bantuan yang disediakan pastinya ada yang dapat memenuhi keperluan orang ramai.

Sehubungan itu, orang ramai dan pihak berkuasa zakat perlu bekerjasama untuk mencari lebih ramai umat Islam yang memerlukan bantuan dalam usaha memanfaat sepenuhnya wang kutipan zakat.

–BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here