Mamat Sepah ‘dikawal’ polis

0
496

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KALAU kita taip nama Mamat Sepah dalam carian Google, akan keluarlah banyak cerita negatif berbanding positif tentang pelawak tersebut. Malah Mamat atau nama sebenarnya, Mohd. Noor Murad, 34, tidak menafikan tentang kebenaran itu.

Mamat yang bakal menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM2019) bersama Azlee Senario dan Acong Sweet Child berkata, zaman ‘nakalnya’ sudah berakhir.
Mengimbas kembali episod gelap itu, kata Mamat, siapa yang tak kena kejutan budaya kerana dalam tempoh singkat tiba-tiba jadi kaya. Waktu itu kumpulan Sepah yang dianggotai Mamat, Jepp dan Shuib muncul sebagai juara program Raja Lawak musim ketiga pada 2008 dan pada 2011, juara Maharaja Lawak dengan hadiah kemenangan RM350,000.

“Sepah bukan satu nama yang buruk kerana yang buruk saya saja. Saya tak malu mengaku saya buruk sebab benda-benda dulu yang saya buat tu. Umur 24, duit banyak dalam akaun, mestilah gelap mata.

“Waktu masuk Raja Lawak 2008, saya bawa RM20 dalam kocek, tapi masa Raja Lawak tak perlu keluarkan duit lagi, sebab setiap minggu dapat RM300. Kita duduk kat banglo, dobi hari-hari orang kutip, makan ditanggung sehari empat kali.

“Keluar dari Raja Lawak dapat kereta semua dan duit bukan masalah, memang lupa diri la sekejap. Cuma saya tak terjebak dadah saja. Saya budak kampung yang tak ada duit dan jumpa pula perempuan cantik dan perempuan pula, kau tak handsome tak apa, duit banyak okey je. Itulah silap saya, silap pilih kawan,” ceritanya tanpa segan silu agar dapat dijadikan pedoman kepada orang lain.

Bagaimanapun kata Mamat, beliau bersyukur kerana tidak terlibat dengan dadah atau kaki kelab malam kerana berpegang kepada nasihat bapanya.

“Saya bersyukur kepada Allah sebab tak hisap dadah. Saya pegang kata-kata bapa saya. Dulu baru habis sekolah, bapa tanya kau nak jadi apa? Bapa bagi pilihan kepada saya kalau saya tak tahu nak buat apa.

“Katanya, kau boleh jadi playboy, sebab playboy sentiasa smart dan pandai cari duit. Kalau kau ambil dadah, kau busuk sebab ia merosakkan pemikiran. Hah! Ambil kau, betul-betul dapat label playboy dan duit habis untuk perempuan. Kalau hamba dadah confirm hidup tak teratur. Bagusnya saya tak kaki clubbing, cuma skandal sana sini saja. Itu dosanya tak kahwin sampai sekarang ni,” katanya berseloroh.

Apapun itu semua sudah berlalu dan kini kehidupan Mamat lebih teratur. Beliau hanya setia pada seorang wanita yang telah berjaya mencuri hatinya. Mereka telah bertunang sejak setahun lalu.

Mamat yang sibuk mengurus pelbagai acara menerusi syarikatnya, Mamat Sepah Entertainment berkata, ini kali pertama beliau bertunang selepas mendapat restu daripada ibunya.

“Waktu saya bawa dia jumpa mak, mak pandang saya dan kata okey. Sebelum tu ada juga yang mak saya tak berkenan. Pandangan orang tua ni lain. Tunang saya tak ada mak, dia orang Lahat Datu, Sabah.

“Kalau tengok tunang saya mukanya macam orang Korea tak nampak macam polis. Dia muda setahun daripada saya. Nak kahwin dengan anggota polis ni bukan mudah tau. Lepas pergi kursus, kena hantar borang nikah ke Bukit Aman. Habis semua latar belakang saya dan keluarga diselidik. Alhamdulillah, bab itu saya lepas,” katanya tersenyum.

Jelas Mamat, perancangan sebenar, beliau bakal bernikah April lalu tapi ditangguh pada Disember ini dan melihat kepada kesibukannya, tarikh tersebut terpaksa ditunda lagi.

“Sepatutnya saya bernikah Disember ini tapi rasanya tangguh lagi. Saya bertunang dah genap setahun lebih ni. Mula-mula dia tak faham, saya suruh mak jelaskan kepada dia.

“Saya kenal tunang masa kat balai. Waktu tu saya pergi ke balai tolong orang tarik report. Sekali nampak dia dan minta nombor, ingatkan boleh settle report tu. Esoknya, waktu di set saya tak dapat tumpu pada penggambaran asyik teringat wajah dia.

“Dari Melaka (penggambaran) saya balik terus ke IPD Shah Alam, bawa dia untuk jumpa mak. Cakap nak bertunang dengan dia dan mak setuju,” cerita Mamat tentang pertemuannya dengan tunang.

Bukan merajuk tapi sibuk

RAMAI yang terkejut apabila melihat Mamat Sepah kembali menyertai pertandingan MLM 2019 bersama dua anggota baharu.

Jelas Mamat, sebelum ini ada saja tawaran daripada pihak Astro cuma beliau tidak dapat memberi komitmen kerana sibuk dengan pelbagai aktiviti yang diurus oleh syarikatnya.
Malah untuk menyertai MLM 2019, Mamat juga cukup cerewet untuk memilih regu dalam pasukannya yang diberi nama Stone.

“Ada saja kawan-kawan pelawak yang ajak joint tapi saya tangguh dulu. Baru-baru ni waktu dapat panggilan daripada produser untuk MLM 2019, saya ingat mereka main-main. Saya tak bagi jawapan terus tapi minta untuk fikir dua hari.

“Saya telefon Acong dan ajak dia sertai saya. Ada juga kawan-kawan yang tahu saya masuk dan mahu joint tapi saya tolak dengan cara baik. Bagi saya kawan adalah kawan tapi ini soal bisnes. Sebab Maharaja Lawak adalah pentas besar dan kalau tak ada keserasian dengan kawan susah nanti.

“Saya minta Acong bagi satu nama yang betul-betul kuat dan dia bagi nama Azlee Senario dan saya tak fikir panjang terus telefon dia. Dia tak nak masuk dan bagi saya tempoh seminggu untuk fikir. Saya call dan WhatsApp tak nak malas, dia jual mahal,” cerita Mamat bagaimana beliau melamar Azlee untuk sertai Stone.

Mamat mahu Azlee dalam kumpulannya kerana menghormati bakat dan pengalaman anggota Senario itu. Biarpun Azlee tidak pernah menyertai program Maharaja Lawak tapi beliau adalah seorang pelawak berpengalaman.

“Lawak Senario lebih kurang macam Sepah juga. Saya kembalikan roh-roh Sepah ke atas pentas tak adalah solid macam Sepah. Saya tak kisah kalau orang kata kumpulan Stone dibayangi Sepah.

“Dulu nak wujudkan Sepah sikit punya susah ke, ni nak wujudkan Stone pun sama juga susahnya. Saya tak ada niat nak buat comeback tapi sekadar suka-suka saja, Dalam suka-suka tetap kena serius untuk menjalankan tugas yang diberikan oleh pihak Astro.

“Lagipun Astro telah membayar dengan harga apa yang kita nak dan kenalah buat betul-betul. Nak berlawan tu dah penat berperang dulu, cuma nak bagi penghormatan untuk Azlee dan Acong yang sebelum ini ada masuk kumpulan lain. Ini adalah gabungan pertama kami dan saya amat menitik beratkan soal disiplin yang saya belajar sewaktu bersama Sepah dulu,” jelasnya tentang prinsip yang dipegang.

Mamat dan anggota Stone akan mula bersaing dengan 10 peserta lain bermula 1 November ini pada pukul 9 malam dari Royal Theatre Shah Alam, yang dikendalikan oleh Datuk AC Mizal.

Sementara itu, edisi istemewa Maharaja Lawak Mega 2019 – Kerusi Panas yang dihos oleh Nabil Ahmad akan bersiaran seminggu lebih awal iaitu pada 25 Oktober ini.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here