Stadium Mini mercu tanda baharu Paya Jaras

0
197
AMIRUDIN Shari (depan) menyepak bola ke gawang sebagai gimik perasmian Stadium Mini Majlis Bandaraya Shah Alam Paya Jaras di sini kelmarin.

Oleh ARRAZAQ NAZRI 

SHAH ALAM – Stadium Mini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Paya Jaras Seksyen U18 di sini menjadi mercu tanda baharu kawasan tersebut.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, stadium tersebut bakal menjadi tumpuan penduduk di kawasan Sungai Buloh dan sekitarnya.

“Kerja-kerja menaik taraf Stadium Mini MBSA ini telah melibatkan kos sebanyak RM7.2 juta.

“Kerja-kerja menaik taraf dimulakan pada tahun 2016 dan stadium ini telah menerima Sijil Pematuhan dan Penyiapan (CCC) pada bulan September 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Majlis perasmian stadium mini tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras, Mohd.Khairuddin Othman dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim.

Shahrin berkata, stadium tersebut mempunyai ciri-ciri moden dengan 500 tempat duduk berbumbung (Grand Stand), Sistem Pengumpulan Air Hujan (SPAH) dan sistem solar.

Katanya lagi, stadium tersebut juga turut dilengkapi dengan kemudahan lain seperti bilik persalinan lelaki dan perempuan, bilik rawatan, surau, bilik VIP, Podium VIP, tempat letak kereta, tempat letak motosikal berbumbung dan berkunci, pondok pengawal, dan kamera litar tertutup (CCTV).

“Pembinaan Stadium Mini Paya Jaras ini dapat memberikan peluang dan kemudahan kepada komuniti setempat untuk mengadakan aktiviti sukan dan riadah. Selain itu, kemudahan sukan ini juga dapat mengembangkan lagi bakat dan kebolehan pemain bola sepak untuk digilap kemahiran sekaligus dapat mewakili negeri Selangor dan negara pada masa akan datang,”katanya.

Permohonan bagi menggunakan Stadium Mini MBSA ini akan dikenakan caj sewaan bagi beberapa fasiliti utama seperti padang bola, bilik persalinan, bilik rawatan dan bilik VIP.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here