Tiada tekong 2S di Subic, relakah PSM ‘direjam’?

0
211
ABD. Talib Ahmad (kiri) terpaksa akur dengan arahan PSM untuk memperjudikan tekong 'separuh masak' ke Sukan SEA Filipina, bulan depan

Oleh KAKI BANGKU

TAHNIAH kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kerana berkeras dalam meneruskan penggantungan terhadap dua tekong negara, Syahir Rosdi dan Zulkifli Razak yang didapati ponteng latihan sejak Jun lalu.

Soal disiplin memang tidak patut dikompromi dan hukuman itu sebagai pengajaran kepada pemain-pemain lain dalam skuad yang cuba berlagak ‘primadona’ sedangkan jasa dan pencapaian mereka tidaklah setara mana.

Pengurangan tempoh penggantungan daripada dua tahun kepada sembilan bulan bererti ‘paalam’ (selamat tinggal – Tagalog) buat Sukan SEA Filipina, bulan depan buat tekong 2S itu, Syahir dan Sobey (gelaran Zulkifli).

Tempoh penggantungan yang hanya mengecualikan penyertaan dengan majikan mereka, dijangka hanya berakhir pada Mac 2020.

Namun satu tamparan kepada ketua jurulatih negara, Abd. Talib Ahmad yang kini terpaksa bergantung kepada tekong ‘gred dua’ seperti Said Ezwan Said De, Hairul Hazizi Haidzir, Ahmad Aizat Nor Azmi, Syahmi Husin dan Zharif Ibrahim Merican.

Punyalah terdesak PSM dalam membentuk skuad Sukan SEA Ke-30 sehingga terpaksa ‘mengorbankan’ seorang apit kiri atau pengumpan demi melebihkan khidmat lima tekong yang akan beraksi di Gimnasium Metropolitan Subic.

ZULKIFLI Razak.

Lain-lain pemain ialah empat perejam atau apit kanan iaitu Azlan Alias, Afifuddin Razali, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Hafizul Hayazi Adnan manakala tiga pengumpan – Farhan Adam, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi.

Tanpa tekong 2S di Subic juga bermakna terpecahlah regu emas Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dengan Azlan dan Farhan tetapi Talib sebagai orang bawahan kenalah akur dengan bosnya di PSM.

Kecuali Zharif, keempat-empat tekong inilah yang sekadar mencecah separuh akhir acara regu berpasukan dan antara regu Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand (PRT) Ke-34 di Bangkok pada penghujung Ogos hingga September lalu.

Mereka disekat oleh tuan rumah 2-0 dan Indonesia 2-1 dalam PRT – satu-satunya kejohanan berprestij antarabangsa, tahun ini dan yang layak menjadi pemanas badan terbaik menjelang Sukan SEA.

Zharif, 19, (selain Syahmi) pernah diuji Talib dalam Kejohanan Asia di Kunming, China pada 12 Jun lalu yang menyaksikan mereka diratah mudah musuh tradisi Thailand 11-21, 13-21 dalam perlawanan akhir.

Melepas jugalah tiket Sukan SEA buat dua pengumpan yang beraksi dalam Piala Raja Thailand, Mohd. Muqlis Borhan dan Norfaizzul Abd. Razak.

Namun bersediakah PSM dengan kritikan media dan peminat seandainya skuad negara kita terus diratah Thailand mahupun Indonesia serta Myanmar atau lebih teruk diaibkan tuan rumah Sukan SEA yang memiliki sebuah regu mantap dan pernah hampir menumbangkan regu Syahir dalam Siri Super Istaf.

Sukan Asia Incheon 2014 pernah merakamkan betapa Syahir yang ketika itu baru berusia 19 tahun dengan pengalaman mentahnya, dikecam hebat sebuah akhbar harian yang menggelarnya, ‘Tekong Cap Ayam’ gara-gara teruk dilibas Thailand dan Korea Selatan.

Tidak syak lagi tekong memainkan peranan yang amat penting dalam sepak takraw moden yang mengamalkan sistem kiraan 21 mata tiga kali servis berturut-turut dan bergilir dengan lawan. Pincang tekong, maka punahlah regunya!

Sepak takraw Sukan SEA juga masih pentas saingan yang jauh lebih besar bahkan dengan Piala Dunia Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan PRT sehingga calang-calang pemain boleh ketar lutut berdepan lawan dan ribuan penonton.

Jangan kerana ego hendak menunjukkan siapa berkuasa sebagai bos sepak takraw Malaysia, maka mereka nekad menghulur badan pemain-pemain yang ‘setengah masak’ ini untuk diratah lawan-lawan yang sentiasa mengidam mencipta nama untuk menundukkan si pengasas sukan ini.

Skuad Sukan SEA Filipina 2019
Said Ezwan Said De, Hairul Hazizi Haidzir, Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi, Syahmi Husin, Zharif Ibrahim Merican (tekong), Azlan Alias, Afifuddin Razali, Khairol Zaman Hamir Akhbar, Hafizul Hayazi Adnan (perejam), Farhan Adam, Aidil Aiman Azwawi, Amirul Zazwan Amir (pengumpan).

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here