Contohilah cara pemandu Singapura bijak jimat petrol

0
444

Oleh AMREE AHMAD

MUNGKIN bagi warga Malaysia yang kali pertama ke Singapura tentu ‘perasan’ gaya seragam pemandu di republik itu apabila mahu letak kereta mereka masuk petak parkir bentuk menegak.

Kenderaan itu akan dipandu dengan agak cermat secara mengundur belakang masuk ke petak, hatta boleh dikatakan ‘sifar’ pemandu Singapura masuk bahagian kepala kereta terlebih dahulu.

Jika ada kereta plat negara itu tidak undur belakang, maka ‘percayalah’ si pemandunya bukan warga Singapura atau berasal dari China yang baru dapat taraf kerakyatan republik berkenaan.

Apa tidaknya, warga tempatan yang belajar memandu kenderaan di Singapura akan dilatih bawa kereta secara mengundur dan bukannya masuk petak parkir dengan mula bahagian kepalanya.

Barang kali pelatih yang ada latar belakang sains fizik akan maklum rasional tindakan sebegitu, namun teknik pemanduan sedemikian amat jarang ditanya apa sebab tersirat dari segi saintifik.

Kebetulan, penulis yang tertarik dengan corak ‘sopan’ pemandu Singapura itu sempat bertanya rakan yang secara kebetulan bekas pelajar kejuruteraan automotif di sebuah universiti tempatan.

Rupa-rupanya ‘gaya’ pemanduan itu antara petua mudah jimat petrol di tangki kenderaan dalam jangka masa panjang, sementelahan harga minyak di Singapura memang terkenal amat mahal.

Sebagai negara kecil dan bukan pengeluar petroleum seperti Brunei, harga runcit bahan api di republik itu ditentukan berdasarkan banyak faktor, malah berbeza antara empat syarikat minyak.

Bayangkanlah pihak Caltex, Esso, Shell, SPC dan Sinopec ‘bebas’ tetapkan harga siling runcit berlainan pada setiap minggu untuk minyak sama ada jenis Ron 92, Ron 95, Ron 98 atau diesel.

Harga dikenakan ini termasuk cukai petrol sebanyak S$0.64 (RM1.96) untuk gred premium dan S$0.56 (RM1.72) bagi gred biasa selain kos operasi serta margin keuntungan kepada peruncit.

Sudahlah harganya paling mahal di rantau Asia tenggara, pemandu tidak boleh keluar dari Singapura untuk ke Malaysia, kecuali tangki minyak kenderaan itu wajib diisi tiga suku penuh.

Justeru, dek mereka amat hargai ‘nilai’ setitis minyak, tabiat pemanduan juga prihatin kepada isu tersebut waima tampak remeh bagi rakyat Malaysia melainkan difikir secara logik automotif.

Untuk rekod, kereta yang dihidupkan enjin dan keluar petak parkir secara mengundur adalah lebih banyak guna minyak berbanding kenderaan itu dipandu terus bergerak luncur ke hadapan.

Begitu juga perihal pemandu suka buka tingkap; konon hendak rasa angin segar atau hisap rokok ketika memandu laju, sebenarnya boleh mengakibatkan tangki minyak lebih cepat kering.

Tidak ketinggalan, amalan biar enjin hidup ketika tunggu seseorang agak lama atau pandu lalu kaunter restoran makanan segera, turut menyebabkan minyak pantas habis dalam masa singkat.

Apa yang pasti banyak tabiat pemanduan warga Singapura dapat dijadikan teladan, apatah lagi bermula 1 Januari tahun depan, harga minyak bakal diapung ikut pergerakan pasaran semasa.

Ini bermakna, era subsidi petroleum yang dinikmati rakyat Malaysia sejak dekad 1970-an apabila Petronas diwujudkan, secara rasmi dianggap hanya tinggal dalam lipatan kenangan sejarah.

Ibarat bidalan lama Melayu iaitu sediakan payung sebelum hujan, jom kita belajar banyak petua jimat petrol kereta yang dapat diikuti menerusi bahan bacaan dan perkongsian media massa.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here