Oleh ARRAZAQ NAZRI

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor bukan sebarang pilihan raya. Bahkan, ia bakal menjadi medan penentu tahap pengaruh parti pembangkang dan juga pemerintah di bawah panji Pakatan Harapan (PH) selepas lebih setahun berkuasa.

Bagi PH, ia akan menguji sejauh mana rakyat menerima dasar-dasar yang diperkenalkan dan janji yang ditepati selama ini.
Begitu juga dengan parti pembangkang, apakah permuafakatan yang terjalin dan digembar-gemburkan sudah cukup mantap untuk menarik sokongan ramai apabila pemimpin yang dikaitkan dengan isu rasuah masih lagi menerajui parti yang sama.

Selepas Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC, Kuala Lumpur yang menghimpun dua musuh tradisi antara ahli UMNO, Pas serta parti komponen pada 14 September hingga membawa kepada pembentukan Piagam Muafakat Nasional, timbul satu tanda tanya, apakah menjadi satu ancaman.

Penganjuran Kongres Maruah Melayu yang dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Stadium Melawati Shah Alam pada 6 Oktober lalu menunjukkan bahawa politik merupakan seni yang memungkinkan apa sahaja boleh berlaku.

Kini, setelah berlangsungnya dua perhimpunan gergasi itu, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menganjurkan Seminar Pembinaan Bangsa Malaysia yang menghimpunkan penyokong-penyokong beliau pada 26 Oktober ini di Bangi.

Sebagai bakal Perdana Menteri Ke 8, beliau dikatakan mahu mengetengahkan idea-idea sendiri  apabila memimpin negara ini nanti.
Pada dasarnya, rakyat sudah berada dalam keadaan ditelan mati emak dan diluah mati bapak apabila parti pemerintah di bawah bendera Pakatan Rakyat yang sebelum ini menjadi pembangkang gagal untuk menerajui negara dengan baik.

Kesempatan yang ada gagal dipergunakan untuk menarik sokongan orang Melayu apabila mereka terus melaksanakan tindakan dan dasar yang lebih banyak merobek perasaan terutamanya orang Islam ketika parti lawannya masih lagi lemah.

Parti UMNO pula berdepan dengan masalah pemimpin lama yang terus ingin berkuasa sedangkan rakyat mahukan perubahan drastik berlaku.

Menjelang PRK Tanjung Piai, pemimpin pembangkang akan mengkritik dan menghentam dasar kerajaan semasa manakala pemimpin lawan pula akan terus mempertahankan dengan janji-janji yang masih banyak belum ditepati.

Tidak menghairankan calon PH di Tanjung Piai merupakan seorang yang ada kaitan kekeluargaan dengan arwah Ahli Parlimen sebelum ini. Apakah sudah tiada lagi pemimpin yang lebih berwibawa untuk mewakili rakyat.

Formula ini dipinjam daripada Barisan Nasional ketika PRK Parlimen Kuala Kangsar yang mana isteri Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd. Yazid menggantikan arwah suaminya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Sarawak.

Jangan hairan sekiranya, PRK Tanjung Piai bakal menjadi medan peringatan kepada PH bahawa nasib mereka masih jauh daripada terbela. Pelbagai isu yang bakal ditimbulkan dari peringkat nasional hingga setempat, pastinya ia bakal panas membahang.
Contohnya, penjualan hartanah kepada warga asing untuk kediaman berharga RM600, 000 ke atas boleh menjadi isu panas ketika rakyat terus berdepan dengan masalah perumahan ketika kebanyakannya menjadi ‘rumah mampu tengok’. Malah, ramai lagi yang tidak mampu untuk menyewa.

Lantas, mungkin juga betul sindiran bahawa rakyat terpaksa menunggu Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggal dunia semasa dalam jawatan untuk memastikan semua janji tertunai. Biarpun kasar tetapi seolah-olahnya itulah realiti.
Namun begitu, siapakah yang bakal menjadi pemenangnya…sama-samalah kita tunggu dan lihat nanti.

– BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here