Redha sudah ‘baca’ venue OCR Sukan SEA

0
194

Oleh KAKI BANGKU

FILIPINA cuba menyembunyikan venue lumba tempuh halangan (OCR) Sukan SEA daripada negara-negara pencabar namun bagi Mohd. Redha Rozlan, pengalamannya dalam Sukan OCR Asia di Manila, tahun ini mampu mematangkannya bagi menghadapi temasya ke-30 itu.

Sedikit sebanyak rahsia format sukan yang kali pertama dipertandingkan dalam temasya serantau dwitahunan ini telah dikutipnya pada Julai lalu yang akan cuba dikongsi rakan sepasukan seperti Mohd. Saddam Pittli, Tan Jie Yi dan Yip Hui Teng.

Redha, 31, turut membawa pulang dua pingat emas dan sebutir gangsa OCR Asia dalam acara 400 meter berganti-ganti dan 5 kilometer sekali gus bakal menjadi prospek utama emas Sukan SEA yang bermula akhir bulan depan.

“Filipina tidak membenarkan kami dan atlet negara lain peluang meninjau dan menguji venue tempuh halangan Sukan SEA, Taman UP Sunken, Manila sehingga 1 Disember sedangkan sukan baharu ini akan bermula sehari kemudian.

“Mereka mungkin mahu gunakannya sebagai kelebihan tuan rumah dan mencerahkan peluang emas tetapi atlet kita sudah berpengalaman beraksi dalam Sukan OCR Asia tahun ini.

“Reka letak atau aturan bentuk halangannya antara OCR Asia dengan Sukan SEA mungkin tidak begitu banyak atau jauh bezanya.
“Sasaran skuad negara ialah meraih tiga pingat emas daripada enam acara yang dipertandingkan di Manila.

“Saya yakin peluang emasnya hanya antara kita dan tuan rumah,” kata pengurus pasukan negara , Andrew Chiu di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.

Redha selain itu bakal kembali ke Perth, Australia pada 1 hingga 2 November ini bagi mempertahankan gelaran Liga Cabaran Ninja (NCL) yang diraihnya, tahun lalu dengan catatan 5:13.09 saat sambil menewaskan American Ninja Warrior, Jake Murray.

Aksi NCL pasti menjadi pemanas badan terbaik sebelum menghadapi Sukan SEA biarpun skuad tempuh halangan negara diluluskan menyertainya oleh Majlis Olimpik Malaysia di bawah Kategori B iaitu pembiayaan sendiri oleh persatuan sukan kebangsaannya.

Hadiah wang tunai sebanyak A$5,000 (RM14,362) menanti peserta NCL yang berjaya melengkapkan kesemua halangan dalam semua peringkat pusingan akhir dalam satu jangka masa manakala A$1,250 (RM3,590) buat pencatat masa terpantas (Last Man Standing).

“Mudah-mudahan tiada kecederaan serius menimpa saya ketika bertanding dalam NCL sebelum ke Sukan SEA.

“Bentuk halangan kedua-dua kejohanan ini pasti berbeza dan saya difahamkan format Sukan SEA lebih mengutamakan kepantasan atlet,” kata bapa kepada sepasang cahaya mata kelahiran Kuantan, Pahang ini.

Biodata Mohd. Redha Rozlan
Sukan: Lumba tempuh halangan (OCR)
Umur: 31 tahun
Asal: Kuantan, Pahang
Status: Berkahwin (isteri, Nureain Kamdan)
Pekerjaan: Pakar teknologi maklumat
Pencapaian: Juara program realiti TV, Fear Factor 2 (2014), Peserta Americani Ninja Warrior 9, Piala Sasuke ASEAN (ASC) 2014, Vietnam 2016, ’17, ’18, Juara Liga Cabaran Ninja 2018
Karier lain: Pelakon drama TV dan teater.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here