Bade ‘bawa diri’ ke Terengganu

"Semasa mempunyai dua keluarga saya menyewa sebuah rumah berhampiran dengan keluarga pertama kerana senang setiap hari saya berulang alik melihat anak-anak tetapi apabila semuanya berakhir pada 2017, saya mengambil keputusan menetap di sini.

0
1039

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

SETELAH rumahtangga pertamanya selama 27 tahun runtuh, pengarah yang tidak asing lagi, Bade Haji Azmi ‘bagaikan’ membawa diri jauh dari dunia seni.

Bagi mereka yang tidak mengenalinya dengan lebih dekat, jangan haraplah beliau akan menjawab panggilan untuk mendapatkan apa-apa kenyataan tentangan perpisahan itu.

Namun penulis amat bertuah kerana mengenali Bade,55, sejak 30 tahun lalu apabila beliau menceburi bidang penerbitan sebagai tenaga kerja di belakang tabir.

Sebabnya, setelah berita perceraiannya ‘disahkan’ di mahkamah penulis menghubungi Bade dan beliau menjelaskan segalanya namun biarlah ia menjadi rahsia demi amanah yang diberikan.

Itulah Bade yang dikenali sejak dulu yang terlalu berahsian tentang kisah peribadi dan rumahtangga tetapi bukan tentang kariernya.

Sejak sekian lama tidak menghubunginya, bulan lalu penulis menghubungi Bade dan sesuatu yang mengejutkan rupanya dalam diam ayah kepada lapan orang anak (lima anak angkat daripada perkahwinan pertama dan tiga anak sendiri daripada perkahwinan kedua) telah berhijrah ke Terengganu.

Jika segelintir orang lebih suka tinggal di Kuala Lumpur namun Bade lebih suka tinggal jauh dari hiruk pikuk yang kadangkala membebankan.

KEBAHAGIAAN seorang ayah…Bade dengan anak bungsunya, Jazeera.

“Setelah mendapat anak ketiga, Jazeera, saya mengambil keputusan berhijrah dan menetap di Terengganu bersama isteri dan tiga orang anak kami pada November lalu demi mencari kelainan dalam kehidupan.

“Semasa mempunyai dua keluarga saya menyewa sebuah rumah berhampiran dengan keluarga pertama kerana senang setiap hari saya berulang alik melihat anak-anak tetapi apabila semuanya berakhir pada 2017, saya mengambil keputusan menetap di sini.

“Saya bosan duduk di KL yang tidak jauh dengan kesesakan lalu lintas. Sebenarnya sebelum ini pun saya sering tinggalkan KL untuk mencari idea menghasilkan skrip filem baru arahan saya,” cerita Bade yang pernah ‘menetap’ seketika di Pulau Sibu, Johor Baharu hanya untuk mencari idea dan menghasilkan skrip filem terbaru arahannya.

Bade yang berkahwin dengan Aida Ghafoor, 38, sejak 2014 mempunyai tiga orang anak – Jihad,5, Jehan, 4, dan Jazeera, setahun.

Bade juga mempunyai lima orang anak angkat daripada perkahwinan pertamanya – Syamir [email protected] Albab, 28, (cameraman), Ahmad Airi, 23, menuntut UiTM Shah Alam peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Pengurusan Teater dan Filem, Ahmad Aifin, 22, Citra, 17, dan Norain, 14 tahun.

BADE Haji Azmi dan isterinya, Aida Ghafoor serta tiga orang anak mereka (dari kiri) Janah, Jihad dan Jazeera.

Menurut Bade, walaupun beliau duduk jauh dari Kuala Lumpur namun hubungan antara ayah dan anak tidak pernah putus.

“Saya dan anak-anak sering berhubung melalui telefon bertanya khabar. Walaupun sudah punya anak sendiri, mereka tetap anak saya,” tegas Bade.

Demi kelangsungan hidup dalam suasana yang tenang dan damai bersama keluarga baru, Bade telahpun membeli sebidang tanah di Batu Rakit, Terengganu berhampiran pantai untuk membina rumah.

“Saya jual caravan yang dulunya digunakan untuk menjelajah tempat-tempat menarik dalam mencari idea dan hasilnya saya beli sebidang tanah yang luasnya hampir seekar.

” Insya-Allah rumah kami di tepi pantai akan dibina tidak lama lagi. Buat masa ini, saya menyewa rumah yang terletak berhampiran pantai,” jelas Bade.

Bade kini sedang mengarah drama 26 episod ” Wasiat Dari Jordan” terbitan Qaisworks Production untuk TV Okey RTM.

Menurut beliau, apabila mengarah beliau akan menetap di sebuah rumah sewa di Kajang dan jika penggambaran mengambil masa lebih dari dua minggu isteri dan tiga orang anaknya akan tinggal bersamanya.

” Kalau hari penggambaran hanya seminggu, saya tinggalkan mereka di Terengganu. Tetapi jika melebihi dua minggu saya membawa mereka tinggal bersama kerana rindu bila berjauhan terlalu lama dengan anak-anak,” kata Bade yang pernah lima tahun lalu bercerita kepada penulis perasaan teruja dan berdebar menanti kelahiran anak pertama ketika usianya mencecah 50 tahun.

–BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here