Bunga Raya di Divisyen Perdana ARC terjawab 17 November

Sekalipun kalah dan di anak tangga corot, Bunga Raya tetap mencatat sejarah kerana meraih satu mata pertama dalam Divisyen Perdana berdasarkan jurang mata dan trynya dalam perlawanan di Kelab Bola Sepak Hong Kong, 15 Jun lalu.

0
183
SHAHRUL Zaman Yahya bersama Bradley Moni Mika (kiri).

Oleh KAKI BANGKU

KEKALKAH Si Bunga Raya dalam Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2020?
Persoalan ini timbul kembali ekoran kejayaan Jepun mara sehingga suku akhir Ragbi Piala Dunia (RWC) 2019 di tanah airnya sebelum disekat juara dua kali Afrika Selatan, Ahad lalu.
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya pernah mengandaikan status skuad negara itu turut bergantung kepada pencapaian kuasa utama Asia itu dalam RWC.

“Jepun perlu menduduki antara 12 tempat teratas Piala Dunia supaya mereka tidak perlu kembali beraksi dalam Divisyen Perdana ARC, tahun depan,” katanya pada 18 Jun lalu.

Kenyataan beliau itu berdasarkan makluman yang diperolehnya ketika menghadiri mesyuarat Majlis Ragbi Asia (AR) di Taipei, Taiwan, dua minggu sebelumnya.

RWC kian menghampiri kemuncaknya dengan empat negara yang masih menyaingi trofi William Webb Ellis itu ialah juara bertahan – New Zealand, England, Wales dan Afrika Selatan.

Satu lagi kemungkinan yang mempengaruhi Bunga Raya dalam Divisyen Perdana ialah sama ada juara Divisyen Satu ARC musim ini, Filipina masih berhajat bersaing dalam play-off kenaikan divisyen tahun depan atau tidak.

Skuad negara bimbingan Bradley Moni Mika menghuni tempat corot Divisyen Perdana selepas kalah kesemua perlawanan dengan Korea Selatan (52-14 dan 38-16) dan Hong Kong (30-24 dan 71-0) di Incheon, Bukit Jalil dan Hong Kong pada Mei hingga Jun lalu.

SI Bunga Raya (jersi hitam) berpeluang kekal di Divisyen Perdana ARC 2020 jika Jepun dan Filipina memutuskan menolaknya, 17 November ini.

“Kami belum dapat apa-apa makluman (mengenai Divisyen Perdana dan play-off bagi 2020) daripada Ragbi Asia (AR).

“Satu mesyuarat Majlis ARC akan diadakan di Bali, Indonesia pada 17 November ini mungkin mampu menjelaskan kedudukan itu,” kata Shahrul kepada Bebas News.

Secara peribadi beliau berpendapat Jepun mungkin sudah menganggap tidak perlu beraksi pada peringkat Asia lagi memandangkan ‘Brave Blossoms’ sudah mencapai antara lapan terbaik dunia malah mengejutkan Ireland 19-12 dan Scotland 28-21 dalam Kumpulan A.

“Sekalipun sudah ke suku akhir RWC, mereka masih boleh kembali beraksi ke Divisyen Perdana ARC jika mahu. Setakat ini juga belum ada keputusan dari Jepun (untuk kembali atau menolaknya).

“Secara logiknya begitulah tetapi kita perlu tunggu keputusan rasmi,” katanya yang menang tipis pemilihan Presiden KRM bagi penggal 2019-2022, menewaskan pencabarnya, Tan Sri Abd. Halim Karim di ibu kota, 13 Julai lalu.

Sekalipun kalah dan di anak tangga corot, Bunga Raya tetap mencatat sejarah kerana meraih satu mata pertama dalam Divisyen Perdana berdasarkan jurang mata dan trynya dalam perlawanan di Kelab Bola Sepak Hong Kong, 15 Jun lalu.

Filipina pula dikatakan boleh menolak bermain Divisyen Perdana 2020 seperti mana Malaysia yang kini di ranking ke-49 dunia melakukannya pada 2017 atas alasan belum cukup bersedia ke tahap lebih tinggi.

Selain itu, saingan ARC tahun depan bukanlah turut berperanan sebagai medan Kelayakan Piala Dunia.

Difahamkan ‘Volcanoes’ turut bermasalah dalam menghimpunkan ramai pemainnya dalam satu jangka masa tertentu jika tetap mahu bermain playoff Divisyen Perdana.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here