Halalkan bunuh diri bukan penyelesaian

0
245

Oleh AHMAD ABD HAMID

BERAPA ramaikah antara kita yang tahu membunuh diri ialah kesalahan jenayah?

Mereka yang melakukannya juga mungkin tidak pernah terfikir mengenai perkara ini. Yang penting bagi mereka ialah menamatkan hidup atas sebab yang hanya mereka sendiri tahu.

Dalam agama Islam membunuh diri adalah dosa besar. Namun terdapat juga orang Islam hilang pertimbangan lantas melakukannya.

Sama ada jenayah atau tidak bukan isu bagi mereka yang hendak menamatkan riwayat hidup sendiri.

Jika ia satu jenayah pun mereka tidak akan memikirkan apa yang bakal berlaku selepas itu.

Mereka sudah mati. Lalu apakah tindakan jenayah yang boleh diambil ke atas mereka?

Justeru apabila Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Ismail baru-baru ini mengumumkan kerajaan akan mengkaji untuk ‘menghalalkan’ bunuh diri, ia satu isu yang boleh dibahas.

Alasan diberikan kerana bertambahnya kes bunuh diri atau cubaan bunuh diri bukan satu justifikasi yang konkrit.

Nampak seperti kerajaan hendak mencari pendekatan mudah menangani isu ini. Seolah-olahnya berkata: ‘Tak apalah. Boleh saja kalau nak bunuh diri’.

Namun persoalannya ialah adakah perubahan status daripada jenayah kapada bukan jenayah membawa apa-apa perbezaan?

Ini kerana seperti yang disebut, orang yang hendak membunuh diri tidak peduli perbuatan mereka mereka salah atau betul, jenayah atau tidak.

Mereka juga tidak peduli natijah perbuatan tersebut. Mereka hanya memenuhi desakan hati untuk mati dan tidak memikirkan apa yang terjadi selepas itu.

Oleh itu jenayah atau bukan jenayah langsung tidak ada dalam perkiraan mereka.

Jika sudah begitu, perlukah perubahan status bunuh diri ini diubah daripada jenayah kepada bukan jenayah?

Dalam kedua-dua situasi ini, tidak ada siapa pun dapat mengawal orang daripada membunuh diri jika itu pengakhiran yang mereka mahu.

Mereka bukan perlu hendak meminta kebenaran atau mendaftar untuk membunuh diri.

Oleh itu perubahan status ini jika dibuat akan hanya lebih merupakan perubahan atas kertas. Matlamatnya sukar dicapai.

Ia bagaikan membuat undang-undang tetapi sukar dikuatkuasa. Misalnya larangan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Ini undang-undang yang baik demi keselamatan. Tetapi daripada segi penguatkuasaan amat sukar. Mampukah pihak penguatkuasa mengawasi pemanduan pengguna jalan raya sepanjang masa di seluruh negara?

Begitulah juga isu bunuh diri ini. Siapa yang tahu orang hendak bunuh diri? Pelaku akan melakukannya secara rahsia. Jenayah atau tidak bukan isu.

Barangkali usaha yang boleh dilakukan kerajaan untuk membantu mengatasi masalah ini ialah mengkaji dan mencari punca kenapa insiden bunuh diri makin bertambah, seperti yang dinyatakan oleh Dr. Wan Azizah.

Berdasarkan laporan- laporan yang kerap kita dengar sebelum ini bunuh diri kadang-kadang berlaku kerana sebab remeh seperti putus cinta.

Ada juga kerana tekanan pelajaran, masalah keluarga, tekanan emosi akibat hutang atau kegagalan bisnes dan lain-lain.

Walau pun sukar, cuba kenal pasti golongan ini dan berikan nasihat bimbingan agar jangan sampai masalah yang mereka hadapi mendorong kepada perlakuan memudaratkan diri.

Kepada mereka yang beragama Islam kuatkan iman dan ingat kepada Allah. Usah sampai melakukan perbuatan terkutuk dan berdosa ini.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here