Kami ada maruah – Mohd Shaid

"Sikap Liu yang begitu sombong melahirkan pandangan sedemikian terhadap Bersatu mencerminkan sikapnya yang hanya memandang Bersatu di Selangor dengan sebelah mata. Kita ingatkan jangan cuba ugut-ugut kita. "

0
692

Oleh ARRAZAQ NAZRI

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli membuat keputusan nekad untuk memohon kepada pihak Speaker DUN supaya memindahkan tempat duduknya ke bahagian pembangkang pada Sidang DUN November depan.

Menurut Mohd Shaid, tindakan itu diambil sebagai tindak balas kepada kenyataan ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu yang mengkritik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tanpa mengambil kira semangat keberadaan dalam kerajaan yang sama di bawah Pakatan Harapan (PH).

“Saya memutuskan untuk menyertai pembangkang dalam Sidang DUN kerana saya melihat kenyataan Liu terhadap pemimpin Bersatu seolah-olah kami langsung tidak bermakna,
“Kenyataannya seolah-olah DAP sudah begitu kuat di Selangor dan mereka tidak memerlukan kami. Setelah berunding dengan pembangkang mereka menyambutnya dengan tangan terbuka,” beliau memberitahu Bebasnews di sini hari ini.

Mohd Shaid berkata demikian sebagai mengulas penularan surat permohonan untuk bertukar posisi tempat duduk daripada bahagian penyokong Kerajaan kepada kelompok pembangkang di DUN Selangor di media sosial.

(ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli.

Tindakan berkenaan diambil berikutan kenyataan Liu yang mengatakan bahawa PH akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa parti Bersatu.

Mohd Shaid menyifatkan tindakannya itu sepatutnya tidak menjadi isu kepada pihak Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sebagai ketua Kerajaan kerana sebagai ketua, beliau perlu menasihati Liu sendiri berhubung isu kritikan tersebut.

“Kami keluar daripada UMNO dan menubuhkan Bersatu kerana perbezaan pendapat. Jadi dalam keadaan sekarang saya tidak kisah untuk beralih kepada pembangkang pula.

“Sikap Liu yang begitu sombong melahirkan pandangan sedemikian terhadap Bersatu mencerminkan sikapnya yang hanya memandang Bersatu di Selangor dengan sebelah mata. Kita ingatkan jangan cuba ugut-ugut kita, “katanya.

Jelasnya lagi, beliau menang di Jeram dengan sokongan rakyat di DUN tersebut bukannya dengan bantuan DAP maka soal bimbang hilang sokongan mereka tidak timbul sama sekali.

Mengulas lanjut, Liu yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat (CEC) sepatutnya mengukur baju di badan sendiri sebelum membuat kenyataan yang menyebabkan kerukunan PH tergugat.

– BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here