Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

PONTIAN- Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tiba untuk meleraikan pergaduhan penyokong dua parti di Dataran Pontian turut diserang kumpulan berkenaan.

Suasana hura-hara berkenaan bagaimanapun dapat dikawal dengan baik apabila puluhan perusuh dilihat ditahan selepas dileraikan dengan pancutan air selepas mereka menyerang anggota pasukan keselamatan.

Namun, orang ramai usah panik kerana insiden berkenaan hanya latihan simulasi yang dijalankan oleh PDRM Johor, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, latihan simulasi itu bertujuan menguji koordinasi dan kesiapsiagaan  seramai 1,700 pegawai dan anggota daripada pelbagai unit bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, 16 November depan.

Latihan simulasi itu disertai 250 pegawai dan anggota daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU), Pasukan Tindakan Ringan (LSF) dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

ANGGOTA FRU menahan perusuh yang melakukan kekecohan ketika mengadakan Latih Amal Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dataran Majlis Daerah Pontian hari ini. Simulasi yang bermula pada 4.30 petang sehingga 6 petang tadi, melibatkan yang seramai 250 anggota dan pegawai dari tiga unit iaitu FRU, Unit Tempur Ringan (LSF) dan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU). –fotoBERNAMA

“Dengan adanya latih amal yang telah kita adakan ini, saya rasa persiapan untuk menghadapi PRK ini pada tahap terbaik.

“Kita akan terus persiapkan diri sehingga hari penamaan calon dan hari mengundi, 16 November 2019,” katanya selepas menyaksikan latihan simulasi kira-kira sejam bermula pukul 5 petang itu.

Mohd. Kamarudin berkata, dalam latihan tersebut, pihaknya menangani dua senario, iaitu semasa kenderaan yang membawa peti undi dihalang dan ketika pengumuman keputusan.

Justeru, pihaknya akan melakukan bedah siasat mengenai keberkesanan latih amal itu bagi mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya termasuk kewujudan zon  bagi memisahkan para penyokong berdasarkan parti masing-masing untuk mengelakkan provokasi dan kekecohan.

Beliau turut menasihati orang ramai dan pengundi supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

– BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here