UMNO-Pas jangan malas kempen, pantau daftar pemilih

Segalanya mungkin akan menjelma 'tindakan drastik' bakal dihadapi oleh UMNO-Pas, jika didapati terbukti bersalah dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB, selain ramai pemimpin utama UMNO sentiasa dilihat keluar masuk mahkamah (belum masuk penjara setakat artikel ini ditulis) di bawah era pemerintahan PH yang mendakwa untuk membersihkan 'penyelewengan kerajaan terdahulu.'

0
196

BOLEH dikatakan menyamai 100 peratus pemimpin dan ahli parti UMNO dan Pas adalah terdiri daripada orang Melayu yang majoritinya menetap di Semenanjung Malaysia.

Menerusi lipatan sejarah dahulukala mencatatkan bahawa orang Melayu mereupakan penduduk asal Nusantara ini terdiri daripada bangsa yang hebat kerana mereka memiliki sifat berani, bermotivasi, rajin, kreatif dan kemahiran luar biasa mendahului zaman, tetapi malangnya ‘negara Nusantara’ serumpun meliputi Malaysia dan Indonesia itu dipecahkan oleh kuasa penjajah dari Barat.

Hang Tuah merupakan pahlawan handal kesultanan Melaka era 1400 hingga 1500 terkenal gagah berani hingga ke China dan Jepun.

Meskipun Hang Tuah lima bersaudara hulubalang Melaka itu dianggap oleh sesetengah pihak sebagai dongeng untuk ‘menyedapkan’ penceritaan dalam buku hikayat, tetapi beberapa orang sarjana dari universiti awam tempatan beberapa tahun lalu berhasil membuat kajian ilmiah untuk membuktikan bahawa Hang Tuah memang wujud.

Para sarjana tersebut berjaya menemukan bukti dalam catatan kuno Jepun bahawa negara mata hari terbit itu pernah mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Melaka pada zaman dahulukala.

Kunjungan para sarjana ke Jepun lebih 10 tahun lalu itu juga didedahkan dengan penemuan senjata Melayu berupa ‘keris purba’ dalam tanah yang menguatkan lagi bahawa negara tersebut sudah lama mempunyai hubungan dengan alam Melayu, khususnya Melaka.

Selain itu Panglima Awang yang dipercayai keturunan Melayu merupakan ahli pelayaran terawal yang terkenal berani meredah lautan mengelilingi dunia, sebaliknya nama pelayar Eropah bernama Marco Polo pula yang lebih banyak ditonjolkan dalam sejarah globalisasi.

Memang betul Marco Polo belayar di lautan dan menyusur pantai sambil membuat ‘peta dunia’ bagi membantu rakan-rakan ‘penjajah’ dari Barat memanfaatkan peta tersebut sebagai pedoman menggunakan jalan laut untuk menjajah sebanyak mungkin negara sebelah timur yang kaya dengan hasil galian bumi, hutan dan pertanian.

Maka bermulalah era penjajahan kuasa Barat khususnya Belanda menjajah sekian lama Indonesia sehingga republik itu merdeka pada 1945 yang menyaksikan pribumi negara itu bermandi darah dan menelan korban jutaan nyawa ketika ‘berperang’ dengan penjajah bagi membebaskan tanah air mereka.

Manakala Semenanjung Tanah Melayu (kini Malaysia) turut menjadi mangsa penjajah Barat bermula dengan kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada 1511.

Selepas itu Tanah Melayu bertubi-tubi dijajah dan diserang kuasa asing diikuti dengan Belanda (terdapat kota Belanda di Pulau Pangkor, Perak), kemudian British (Inggeris) yang disusuli serangan Jepun (1940-an), pemerintahan 14 hari pengganas komunis dan seterusnya British kembali menjajah.

Penjajahan British yang menggunakan pendekatan ‘diplomasi’ bagi memperdaya bangsa Melayu dan dalam masa yang sama penjajah mengaut paling banyak hasil bumi Tanah Melayu terutama bijih timah serta emas, selain hasil mahsul hutan serta membuka ladang getah.

Di samping itu British turut membuka estet penanaman getah, termasuk rangkaian jalan raya dan landasan kereta api bagi memunggah hasil mahsul dari Tanah Melayu dikumpulkan di pelabuhan laut sebelum dihantar pulang ke negara asal penjajah.

Ketika itu British mengimport ramai buruh asing pendatang dari China untuk sektor perlombongan bijih timah selain dibiarkan dengan tradisi gemar berniaga dan buruh dari India untuk keperluan pekerja sektor perladangan (estet getah) serta pekerja binaan jalan raya mahupun landasan kereta api.

Menurut catatan sejarah sahih, terdapat dua kumpulan buruh dari China sebagai pekerja lombong bijih timah di Perak dikenali sebagai Ghee Hin dan Hai San kerap bergaduh sesama mereka.

Orang Melayu pula selaku penduduk asal Tanah Melayu dimanjakan oleh penjajah British dengan cara diberikan kerja mudah makan gaji duduk dalam pejabat, selain bertugas sebagai anggota keselamatan serta sedikit sebanyak peluang pendidikan sehingga ramai anak Melayu yang cemerlang berpeluang melanjutkan pengajian tinggi hingga ke England.

Ketika Tanah Melayu yang sudah hampir habis hasil mahsulnya dikaut British, selain tanpa menghantar pulang buruh China dan India, akhirnya penjajah itu dengan senang hati memberi kemerdekaan kepada negara ini pada 31 Ogos 1957 selepas berpuas hati dengan rundingan ‘diplomasi’ untuk kemerdekaan bersama pemimpin utama Melayu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Al-Haj.

Di situ sudah jelas penjajah British sudah membuat tiga acuan kepada tiga kaum utama di Tanah Melayu yang kekal hingga kini seperti Melayu memonopoli pekerjaan sektor awam, Cina (bidang ekonomi menerusi aktiviti perniagaan) dan India (perladangan).

Dalam masa yang sama sejak zaman penjajahan British dahulu, rakyat di Tanah Melayu tidak disekat untuk menubuhkan parti politik seperti Melayu dengan parti UMNO (1946), kemudian serpihan daripada Biro UMNO lahir pula Pas (sekitar 1951), manakala Cina menubuhkan MCA dan India menubuhkan MIC.

Ketika era Barisan Nasional (BN) memerintah Malaysia, Pas pernah menjadi anggota komponen BN selepas tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 berikutan pujukan Almarhum Tun Abdul Razak Hussein selaku Perdana Menteri kedua dengan alasan demi mengukuhkan perpaduan Melayu era Presiden Pas, Tan Sri Asri Muda.

Namun Pas keluar BN kerana ‘merajuk’ atau ‘salah faham’ sesama pemimpin parti politik berkenaan pada 1978, selain terdapat segelintir pihak yang mengadu domba supaya kedua-dua parti ‘bergaduh’ kerana tidak senang melihat Melayu kuat dan bersatu padu.

Kita juga dapat menyaksikan sekian lama UMNO-Pas melayan perangai mereka yang ‘tidak cerdik’ asyik ‘bergaduh’ atau ‘bertikam lidah’ saling tuduh menuduh berlarutan sejak 1978-2018 sekali gus banyak mengabaikan kebajikan serta pembangunan rakyat dalam kawasan pemerintahan masing-masing.

Maka kini barulah UMNO-Pas tersedar bagaikan dikejutakan oleh dentuman kuat petir selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2018, lalu kedua-dua parti tersebut kembali ‘berbaik-baik semula’ untuk menebus maruah berikutan pemerintahan negara bertukar tangan kepada penguasaan Pakatan Harapan (PH) yang dahulunya pembangkang.

Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dahulunya pernah menjadi Perdana Menteri ketika mengetuai BN (kini menjadi Perdana Menteri kali kedua selepas PRU-14), selain menjadi Presiden UMNO kemudian keluar UMNO lalu menubuhkan Parti Bersatu dan menerajui PH pula kerana mendakwa tidak berpuas hati dengan sistem pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga 2018.

Menerusi PH, rakyat dapat menyaksikan Dr. Mahatir dengan selamba sahaja duduk semeja dengan anggota parti komponen PH yang terdiri daripada seteru politik nombor satu yang sekian lama dimusuhi terutama sekali DAP dan PKR.

Malah kemenangan PH adalah menerusi taktik bertanding ‘menumpang’ di bawah satu logo PKR kerana Bersatu ketika itu tidak mendapat kelulusan pendaftarannya daripada Pendaftar Pertubuhan sebagai parti politik.

Lantaran itu ‘jika berlaku’ sesuatu kepada UMNO-Pas serta parti komponennya untuk melawan PH dalam PRU-15 nanti, maka pemimpin dan ahli UMNO-Pas perlu mencontohi taktik dan kelicikan Dr. Mahatir bermain politik walaupun kelihatan ‘membujur lalu, melintang patah.’

Segalanya mungkin akan menjelma ‘tindakan drastik’ bakal dihadapi oleh UMNO-Pas, jika didapati terbukti bersalah dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB, selain ramai pemimpin utama UMNO sentiasa dilihat keluar masuk mahkamah (belum masuk penjara setakat artikel ini ditulis) di bawah era pemerintahan PH yang mendakwa untuk membersihkan ‘penyelewengan kerajaan terdahulu.’

Sebagai langkah untuk mengukuhkan kekuatan UMNO-Pas, mereka perlu bersedia mulai sekarang bagi menghadapi PRU-15 terutama sekali memberi tumpuan kepada pemantauan dan kempen daftar pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta memberi fokus kepada perkembangan terkini rakyat berusia 18 tahun layak mengundi.

Ketika kelulusan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan bagi perkara penurunan usia pemilih daripada 21 kepada 18 tahun tersebut di Dewan Rakyat (DR) pada 16 Julai 2019 lalu, ia turut meluluskan kaedah daftar pemilih secara automatik.

Dr. Mahatir dalam bacaan kali kali kedua RUU tersebut yang mendapat sokongan besar 211 ahli DR kerajaan serta pembangkang dan seperti yang dilaporkan, Perdana Menteri membaca cadangan meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak menjadi ahli DR daripada 21 tahun kepada kepada 18 tahun.

Bacaan RRU itu juga bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

RUU yang dibaca itu turut mengandungi cadangan untuk pendaftaran warganegara secara automatik (sebagai pemilih) sebaik sahaja mereka berumur 18 tahun.

Berikutan itu pemimpin politik serta pengundi Melayu khasnya janganlah mudah terpesona dengan ungkapan ‘pendaftaran warganegara secara automatik,’ lalu ‘malas’ berinisiatif untuk mendaftar sebagai pemilih dan tidak membuat semakan sendiri menerusi SPR, sedangkan tiada huraian yang terperinci mengenai kaedah daftar tersebut.

Oleh yang demikian pemimpin UMNO-Pas ‘jangan malas’ menggerakkan usaha jelajah kempen kesedaran mengundi dan daftar sebagai pemilih kepada kaum Melayu mulai sekarang, apatah lagi kaum Melayu yang tidak bermotivasi kerap dilabelkan oleh pihak tertentu sebagai ‘malas’ bakal menjerumuskan kesan jangka panjang kepada kekuasaan politik jatuh ke tangan pihak lain.

Para pemimpin dan ahli UMNO-Pas perlu bersepadu mempunyai kesedaran yang tinggi bahawa ‘undi’ adalah ‘senjata utama’ dalam sesebuah negara demokrasi berparlimen bagi memastikan generasi Melayu, agama Islam dan Raja-Raja Melayu tidak terus dipersenda sekali gus berhadapan dengan tragedi sedih merempat di bumi sendiri…!

– BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here