Oleh NAFSIAH JANI

Dalam kesibukan berlakon dan mengarah nampaknya pelakon serta pengarah popular, Fauziah Datuk Ahmad Daud masih berkesempatan merancang sesuatu untuk peminat-peminatnya.

Fauziah Datuk Ahmad Daud, 57,  atau mesra dengan panggilan Ogy akan tampil dengan showcase pertamanya awal Disember ini bagi mengubati rindu peminat terhadap dirinya. Showcase bertajuk `Wajah Rahsia Hati’ ini sebagai `buah tangan’  darinya bagi menghargai sokongan peminatnya.

Showcase selama dua jam ini bakal menyaksikan Ogy beraksi secara solo membuat persembahan seperti berlakon, menyanyi dan menari di Dataran Karyawan FINAS, Kuala Lumpur.

“ Sebelum ini saya banyak buat untuk orang, seperti teater `Suatu Masa’ untuk Amy Search, berlakon Mok Cun dengan Erma Fatima, berlakon Bawang Putih Bawang Merah dengan Fathia Latif dan De Javu karya Siti Rohayah Atan dan kini tiba masanya saya buat untuk peminat saya pula.

“Saya pilih Dataran Karyawan FINAS kerana tempat itu banyak meninggalkan memori dan sejarah kepada dia. Sinilah tempat delegasi-delegasi filem berkumpul sebelum ini, tapi ramai yang tidak tahu dan meminggirkan tempat ini,” kata Ogy lagi.

Dalam  showcase ini  Ogy akan menyanyikan lebih 10 buah lagu-lagu popularnya  seperti Bila Bunga -Bunga Berguguran, Berakhir Kemarau Di Hati, Padamu Saja, Hanya Padamu, Senandung Duka, Simfoni Kasih dan Pelayaranku.

Menurut Ogy pelakon Hati Batu ini, mulai November ini beliau akan mula membuat latihan yang sepatutnya bagi memastikan kejayaan showcasenya ini.

“Sekarang pun saya dah mula  berlatih sikit-sikit di rumah. November nanti barulah saya akan berlatih selama sebulan bagi memastikan kelancaran persembahan itu nanti. Saya buat showcase ini untuk mencabar diri sendiri,” ujarnya yang bermula sebagai Saadiah Dancers sebelum terjun dalam dunia lakonan.

Selain untuk peminatnya Ogy harap showcase ini dapat mendidik pendatang  baru agar menjadi artis yang versatile. Apa yang akan ditonjolkannya nanti adalah perkara yang mesti dilakukan artis-artis baru jika mereka ingin terus kekal dalam industri hiburan.

“Bagi memastikan saya tidak ` pancit’ nanti kenalah saya menjaga stamina daripada sekarang. Antara latihan yang saya lakukan ialah berjogging, berlatih menyanyi setiap masa serta mengikuti kelas vokal dengan guru muzik yang hebat…InsyaAllah bersama Cikgu Syafi.  Pat Ibrahim pula akan bertindak sebagai pengarah dan koreografer persembahan.

 

“Selain lagu-lagu daripada album, saya juga akan menyanyikan lagu-lagu Donna Summer yang sering saya nyanyikan ketika menyanyi di kelab dulu.Persembahan ini akan turut dijayakan pelajar-pelajar ASWARA yang mengikuti Performing Arts kerana ini sebagai latihan praktikal untuk mereka juga,”  tambah Ogy  lagi.

Kini Ogy tengah berusaha mencari penaja bagi merealisasikan impiannya ini. Bagi persembahan tersebut Ogy menerlukan sekurang-kurangnya RM200 ribu bagi membina pentas impiannya seperti pentas Diana Ross ketika mengadakan persembahan di Madison Square Garden,  New York.

Bagi Ogy tidak salah untuknya berangan-angan membina pentas yang hebat di tengah-tengah Dataran Karyaran FINAS itu nanti.

“Pada saya tak salah berangan-angan kerana dari angan-angan itulah ianya akan menjadi kenyataan. Saya berharap sesangat adalah pihak yang sudi untuk menaja persembahan saya yang bakal dihadiri lebih 400 orang peminat,” ujarnya lagi.

Filem Pusaka 31 Oktober ini

Lebih empat dekad dalam dunia perfileman, buat pertama kalinya Ogy Ahmad Daud menerima tawaran untuk membintangi filem seram, `Pusaka’. Filem arahan Razaisyam Rashid yang diterbitkan Astro Shaw dengan kerjasama Director’s Think Thank dan dipersembahkan produksi Alpha 47.

“Sebelum ini saya tidak pernah membintangi sebarang karya seram atau misteri dan ini pertama kali saya berlakon filem dalam genre begini. Saya terima tawaran mereka kerana skripnya yang bagus. Untuk menjiwai watak saya membaca skripnya sebanyak tujuh kali.

“Jalan ceritanya sangat menarik kerana ia menggabungkan genre seram dan penyiasatan dalam satu naskah yang digarap hebat Razaisyam. Saya juga suka cara pengarahan Razaisyam yang ditonjolkannya ketika  mengarah drama bersiri Mandatori yang ditayangkan Astro First Eksklusif,” kata Ogy yang lebih menyukai cerita-cerita filem yang memaparkan kehidupan sehari- hari berbanding epik.

Selain Ogy, filem PUSAKA turut dibintangi pelakon Syafiq Kyle, Mimi Lana, Faizal Hussein, Hafidz Roshdi, Sweet Qismina dan ramai lagi.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here