Selalunya dalam drama Melayu hari ini…

Meskipun "Opah" yang pernah mencipta fenomenanya yang tersendiri diterbitkan semula oleh RTM pada tahun 2012, apa yang nyata ia tidak mampu mengatasi populariti "Opah" 1980an malah saya juga tidak terpanggil untuk menontonnya!

0
428
SATU babak dari drama "Opah" yang pernah menjadi fenomena pada awal 1980an yang ditayangkan di RTM

SEJAK masih di Utusan Melayu dan ditugaskan sebagai wartawan hiburan Mingguan Malaysia pada tahun 1980, saya sentiasa menonton drama yang ditayangkan di televisyen.

Bermula dengan RTM diikuti TV3, TV9 dan kini di Astro, kebanyakan drama yang disiarkan saya ikuti.

Bagaimanapun sampai saat ini saya tetap meminati drama bersiri genre kekeluargaan “Opah” yang disiarkan melalui slot Drama Minggu Ini dan menjadi fenomena pada tahun 1982 terbitan RTM.

Opah drama memaparkan kasih sayang seorang nenek yang begitu prihatin dengan anak-anak dan cucu-cucunya terlalu dekat di hati saya.

Bukan saya sahaja, malah kerana drama yang begitu dekat di hati kebanyakan orang Melayu sehinggakan anak saudara saya yang ketika itu baru berusia 3 tahun mengenali “Opah” ketika terserempak pelakon utamanya Zaiton Husin sedang bersarapan lontong di sebuah warung di Seksyen 14, Petaling Jaya.

Betapa tidak, Opah yang dilakonkan oleh Zaiton Husin (Allahyarham) adalah realiti kehidupan seorang nenek bukan sahaja mengambil berat tentang cucu-cucunya malah empat orang anaknya lakonan Razali Buyong (Osman), Khatijah Abu Hassan (Jenab), Allahyarham Muhamad Abdullah (Yasin) dan Allahyarham Mustafa Nor & Abu Bakar Kassim (Amar) menggambarkan realiti sebuah keluarga.

Bukan itu sahaja, malah lagu tema “Opah” ciptaan Bob Khalil pernah menjadi siulan para peminat drama bersiri berkenaan.

BABAK dari drama bersiri “Puteri Yang Ditukar” ketika doktor dengan steteskop tergantung megah di bahu memberitahu kepada Tuan Malek dan Aini tentang penyakit anak mereka, Zahira.

Dan kerana drama “Opah” jugalah, pelakon yang pernah mewarnai filem-filem arahan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada era 1960an, Norlia Ghani mula dikenali dan begitu popular dengan watak Joyah yang dianggap ‘kaki kepoh’ tetapi baik hati dan berbudi bahasa.

Meskipun “Opah” yang pernah mencipta fenomenanya yang tersendiri diterbitkan semula oleh RTM pada tahun 2012, apa yang nyata ia tidak mampu mengatasi populariti “Opah” 1980an malah saya juga tidak terpanggil untuk menontonnya!

Biarlah ada yang menganggap saya ni ‘old school’ bagi saya drama hari ini belum mampu mencipta fenomen seperti “Opah” 1980an kerana meskipun diulang tayang ia tetap menjadi pilihan penonton.

Itulah istimewanya “Opah” berbanding drama hari ini yang kebanyakannya diadaptasi dari novel yang mana kadangkala memualkan dengan kisah cinta tidak kesampaian, kisah perempuan gilakan suami orang, kisah lelaki yang syokkan isteri orang dan paparan hidup ahli korporat yang kadangkala melucukan kerana kerap di ‘recycle!’

Saya tidak mahu sentuh tentang ‘kesinambungan’ antara babak ke babak yang mana apabila keluar rumah bawa beg tangan warna lain dan sampai pejabat tiba-tiba beg tangan berubah warna dan rupa.

Bukan itu sahaja, malah ada babak Kak Long mengetuk pintu bilik adiknya dan ajak bersarapan nasi lemak masakannya tetapi apabila tiba di meja makan nasi lemak bertukar menjadi mi goreng!

Cuma saya ingin berkongsi dengan pembaca sama ada sedar atau tidak, jika anda menonton drama hari ini bukan sahaja kisah cinta yang memualkan tetapi ada lima ‘babak’ yang sering terdapat dalam drama Melayu hari ini membuatkan saya rersenyum dan kadangkala ketawa sendiri!

Mesti anda boleh ‘recall’ apabila babak ‘orang sakit’ samada orang kaya, golongan marhaen, di rumah atau di hospital yang membuatkan saya tertanya-tanya kenapa mesti bubur nasi yang disogokkan kepada pesakit?

Kadangkala saya terfikir dalam keadaan ‘pesakit’ yang mana adakalanya mungkin tekak mereka pahit apa salahnya ‘hidangan’ bubur nasi dicampur dengan udang atau ikan goreng mesti mampu membuatkan mereka makan empat lima sudu untuk tenaga.

Bukan itu sahaja, malah apabila menyentuh babak seorang doktor samada di klinik atau di hospital membuatkan saya ketawa!

Ingin tahu kenapa? Saya kadangkala hairan bin ajaib setiap kali menonton babak ‘doktor’ kenapalah stetoskop itu sentiasa digantung di bahu bukan sahaja ketika melawat pesakit dari katil ke katil malah ketika berjumpa keluarga pesakit di biliknya untuk memberitahu penyakit anak mereka stetoskop itu tergantung indah dan megah di bahu ‘doktor!’

Dan jika menonton drama seram, entah kenapa saya tidak ‘feel’ seram itu cuma saya sakit hati dan bingit telinga kerana boleh dikatakan lebih daripada separuh drama itu menjerit dan menjerit!

Sebabnya saya terfikir, jika kita menonton filem seram Hollywood, paling tidak ada babak mereka memanggil paderi dan memegang ‘salib’ untuk meredakan ketakutan.

Tetapi drama kita, kalau cerita seram tu dari mula sampai akhir asyik menjerit ketakutan sama ada di rumah atau di lokasi kejadian! Kenapalah tidak terfikir walaupun sedetik, pergilah ambil wuduk dan solat sunat atau membaca ayat suci untuk tenangkan jiwa!

Lagu tema siri drama Opah 1984

Bukan itu sahaja, malah apabila babak melibatkan ‘orang jahat’ atau ‘gangster’ kenapa mesti muncul berjaket kulit hitam atau gaya rambut yang melucukan?

Saya juga tertanya-tanya apakah kriteria yang menjadi ukuran sesebuah stesen televisyen untuk meletakkan sesebuah drama itu genre keislaman?

Adakah cukup dengan kesemua pelakon wanitanya bertudung litup, cakap dengan penuh kesopanan sedangkan memberi salam pun sekadar “Sammaekum” dan bukan “Assalamualaikum!”

Bagi saya hanya panel yang bijaksana dari stesen televisyen di RTM, TV3, TV9, TV Al-Hijrah dan Astro yang boleh memberi jawapannya!

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here