Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini menyanggah kenyataan ahli akademik Dr Lim Teck Ghee yang menyifatkan pentadbiran PH sebagai bencana tidak terkawal (unmitigated disaster) kepada negara.

Malah, Anwar berkata kenyataan sedemikian hanya akan keluar dari mulut ahli akademik yang mengambil sikap membisu ketika rasuah berleluasa dalam negara.

“Itu (kenyataan) ahli akademik yang pada ketika rasuah berpuluh bilion, membisu. Jadi, nak dengar dia boleh. Tetapi, bila rasuah banyak, orang curi bertong-tong, dia diam dan sekarang nak kata keadaan tak terkawal.

“Sepatutnya bicara (bangkitkan) apa yang patut kita lakukan. Mengapa boleh kita diam bila rompakan besar berlaku.

“Dan sekarang nak bicara sebagai jurucakap masyarakat Melayu. Saya tidak setuju,” katanya kepada pemberita selepas berucap merasmikan Ijtimak Harakiy kali anjuran NGO Abim dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Kajang, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Teck Gee bahawa kekecewaan terhadap kerajaan hari ini semakin meluas.

“Pendidikan, tadbir urus, hubungan kaum, hubungan agama, kegagalan daripada Icerd, Zakir Naik, Kongres Maruah Melayu dan banyak lagi. Senarai kekecewaan dan kegagalan politik terus meningkat,” kata Teck (gambar, bawah).

Sementara itu, Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan pemimpin parti pembangkang, termasuk PAS yang menyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sehingga tamat tempoh lima tahun pentadbiran kerajaan.

Kata Anwar, sokongan pemimpin pembangkang itu tidak relevan memandangkan isu membabitkan perubahan pucuk pimpinan seharusnya dibawa dan diselesaikan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Itu tidak mengapa (sokongan pembangkang termasuk PAS terhadap Mahathir).

“Pembangkang biasalah, hendak timbulkan masalah. Dahulu semasa BN pembangkang tidak pula disuruh pilih calon perdana menteri.

“Ia bukan soal pembangkang. Saya ingat, isu itu juga sudah dijawab Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Penasihat DAP Lim Kit Siang dan juga PKR.

“Parti berkuasa sekarang ini yang menentukan siapakah pimpinan. Sekarang kita sokong Mahathir,” katanya.

Sebelum ini, enam ahli parlimen Umno tampil memberi sokongan supaya Mahathir meneruskan mandat sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum akan datang.

Enam pemimpin berkenaan ialah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Adham Baba (Tenggara), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Ismail Abdul Muttalib (Maran), dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut memberi jaminan bahawa kesemua 16 anggota prlimen parti itu akan memberi sokongan sama kepada Mahathir.

https://www.malaysiakini.com/news/497476

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here