Oleh KAKI BANGKU

ENGLAND menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Ragbi Piala Dunia (RWC) 2019 – yang pertama sejak 2003 dengan menumbangkan juara bertahan, New Zealand 19-7 pada separuh akhir di Stadium Antarabangsa Yokohama, Jepun, hari ini.

‘The Red Roses’ kini cuma tinggal selangkah untuk kembali menjulang trofi William Webb Ellis itu dengan halangan terakhirnya ialah Afrika Selatan atau Wales yang bakal berentap dalam satu lagi separuh akhir RWC juga di venue itu esok.

All Blacks sebaliknya kempunan untuk bergelar pasukan pertama yang menjuarainya tiga kali berturut-turut selepas mencapainya di tanah air pada tahun 2011 dan England, empat tahun lalu.

Namun New Zealand juga merupakan juara pertama RWC pada tahun 1987, menewaskan Perancis 29-9 selain 8-7 (2011) dan Australia 34-17 (2015).

Dibimbing Eddie Jones, England mendahului 10-0 menerusi try Manu Tuilagi hanya dalam tempoh 98 saat babak pertama permainan selain conversion kapten Owen Farrell dan sepakan penalti George Ford.

Satu try menerusi Ardie Savea cuba menghidupkan semula cabaran New Zealand namun Ford menyempurnakan tiga sepakan penalti untuk memastikan tiket perlawanan akhir di stadium sama buat England pada 2 November ini.

Bekas jurulatih skuad England juara 2003, Sir Clive Woodward berkata dalam laman sesawang media England, The Sun: “Tidakkah anda sayang akan Farrell? Saya fikir dia memang membuat kesimpulan pada pasukan England ini – sikap mereka.

“Anda lihat pada akhir permainan di bulatan, tiada yang merayakan kejayaan ini (kerana) mereka tahu mereka ada satu lagi perlawanan besar yang akan datang (perhitungan muktamad, minggu depan).

“Namun saya fikir orang yang paling menyerlah ialah Maro Itoje (pemain posisi lock England). Ada sesuatu tentang pasukan ini tetapi mereka (termasuk Farrell) memang hebat. Mereka hanya menjerut All Blacks sampai mati,” katanya.

Jurulatih All Black, Steve Hansen sebaliknya hanya mampu akur dengan kehebatan Red Roses yang bermain dengan pergerakan kaki yang hebat dan berhak untuk memenangi pertembungan ‘buku dan ruas’ ini.

“Mula-mula sekali saya mahu mengucapkan tahniah kepada England, mereka hebat dan anda tidak boleh berikan walau separuh langkh pun kerana mereka akan menyambarnya. Itulah ragbi sebenarnya.

“Saya cukup bangga dengan pasukan kami, mereka sudah beraksi dengan hebat tetapi tidak cukup bagus. Kami perlu menerimanya, begitu juga peminat di tanah air,” kata pemenang Piala Dunia 2015 di England ini.

Juara-juara RWC

1987: New Zealand
1991: Australia
1995: Afrika Selatan
1999: Australia
2003: England
2007: Afrika Selatan
2011: New Zealand
2015: New Zealand
BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here