Oleh KAKI BANGKU

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah bakal menentukan siapa pemilik Piala Malaysia bagi edisi ke-53, 2019 sekali gus mengulangi pertembungan final 2017 selepas masing-masing menyingkirkan Selangor dan Pahang dalam separuh akhir kedua di Shah Alam dan Kuantan, malam tadi.

Ketika Harimau Selatan meniti laluan mudah membaham Gergasi Merah 3-0 di Stadium Shah Alam atau agregat 5-1, Helang Merah pula diikat Tok Gajah dalam pesta gol dramatik masa tambahan, 5-5 (agregat 8-8) di Stadium Darul Makmur sebelum mara dengan jaringan tempat lawan.

JDT kini berpeluang merangkul gelaran trebel musim ini selepas turut memenangi Piala Sumbangsih dan Liga Super sementara Kedah mampu bergelar juara berganda di samping Piala FA yang dimenangi dengan menundukkan Perak 1-0 di Bukit Jalil.

Dua tahun lalu, JDT menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam untuk menjulang Piala Malaysia, trofi saingan bola sepak teragung negara yang diperkenalkan pada 1967, menggantikan Piala HMS Malaya mulai 1921.

Hatrik Safawi Rasid pada minit ke-23, 46 dan 51 sudah lebih daripada memadai buat JDT meraih tiket final sekali gus meleburkan impian juara 33 kali itu yang cuba bangkit daripada kekalahan separuh akhir pertama, 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru, minggu lalu.

Sayap kanan negara itu mudah menolak masuk gol pertama skuad Benjamin Mora itu hasil hantaran Mohd. Afiq Fazail sebelum menyudahi hantaran Diogo Luis untuk gol kedua dan melengkapkannya dengan menghukum kecuaian benteng tuan rumah.

Kedah yang bangkit mengikat Pahang 3-3 dalam separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar, minggu lalu, malam ini mengejutkan tuan rumah lebih awal dengan jaringan kaptennya, Fernando Fodriguez hasil hantaran Baddrol Bakhtiar pada minit kelapan.

Namun kedudukan menjadi 1-1 apabila penyerang sasa import, Dickson Nwakaeme meledak gol skuad Dollah Salleh itu dari luar kotak penalti pada minit ke-33 yang menewaskan penjaga gol pelawat, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Helang Merah kembali di depan menerusi jaringan Jonathan Bauman pada minit ke-54 namun diikat 2-2 pula dengan gol Lazarus Kaimbi, 17 minit kemudian malah penyerang dari Namibia itu meletakkan Tok Gajah mendahului 3-2 pada minit ke-76.

Hanya berselang sembilan minit, Kedah pula mengikat Pahang 3-3 hasil jaringan Baddrol sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan yang menyaksikan pelawat pula di depan dengan gol Renan Alves pada minit ke-92.

Sepakan penalti Herold Goulon pada minit ke-114, menjadikan 4-4 untuk cuba menghidupkan sisa-sisa peluang Pahang tetapi Rodriguez terus memadam hajat itu dengan gol kelima Kedah dan melebarkan kedudukan 5-4 serta kian selesa melangkah ke perlawanan akhir.

Rembatan masuk Nwakaeme mengikat lawan 5-5 dalam masa kecederaan permainan masa tambahan itu namun tidak mampu mengubah nasib Pahang untuk kembali ke pentas akhir dan memenangi Piala Malaysia yang kali terakhir dinikmatinya pada 2014.

— BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here