Kedudukan PM: Saya kekal hingga PRU hanya pandangan pembangkang – Dr Mahathir

“Saya janji tidak akan duduk lama, cuma saya berpendapat bahawa berasaskan pengalaman saya dulu saya boleh cuba betulkan segala kesalahan yang dilakukan oleh (bekas perdana menteri) Najib (Razak)."

0
949
fotoBERNAMA

Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa hanya Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang akan menentukan kedudukannya sebagai perdana menteri.

Dr Mahathir berkata cadangan daripada anggota parlimen pembangkang supaya beliau kekal sebagai perdana menteri sehingga PRU akan datang adalah pandangan mereka sahaja.

“Itu pendapat dia orang, yang akan menentukan (saya sebagai perdana menteri) ialah Majlis Presiden PH. Kita (Majlis Presiden PH) yang akan putuskan.

“Kalau dulu dia (pembangkang) cadang saya jadi perdana menteri sebelum adakan PRU ke-14, dia ada hak nak suruh saya duduk lama atau bila sampai masanya,” kata Dr Mahathir pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Ashgabat pada Ahad, sebelum mengakhiri lawatan rasmi dua hari beliau ke Turkmenistan pada Isnin.

Khamis lepas, enam ahli Parlimen Umno pada satu sidang media di lobi Parlimen, tampil memberi sokongan agar Dr Mahathir meneruskan mandat sebagai perdana menteri sehingga PRU akan datang.

Enam individu berkenaan adalah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Ismail Abdul Muttalib (Maran) dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Sementara itu, sewaktu sesi perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat pada hari sama, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut memberi jaminan semua anggota parlimen parti itu seramai 18 orang turut memberi sokongan kepada Dr Mahathir.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang berada di sana untuk lawatan rasmi dua hari bermula Ahad, mengulangi bahawa beliau tidak dapat meletakkan tempoh yang tetap untuk berlakunya peralihan kepimpinan negara.

“Saya janji tidak akan duduk lama, cuma saya berpendapat bahawa berasaskan pengalaman saya dulu saya boleh cuba betulkan segala kesalahan yang dilakukan oleh (bekas perdana menteri) Najib (Razak).

“Apabila saya berpuas hati, saya tidak akan teruskan (jadi perdana menteri) tetapi saya tidak dapat memberi masa tertentu kerana masalah negara ini (Malaysia) amat besar dan tidak mudah untuk kita selesaikan. Hutang kita banyak dan jentera kerajaan telah dirosakkan oleh Najib.

“Itu perlu dibetulkan lagi dan macam-macam masalah yang ditinggalkan oleh Najib. Sedikit sebanyak saya mempunyai pengalaman dalam menyelesaikan perkara-perkara ini,” katanya.

Mengikut perjanjian PH sebelum PRU ke-14, Dr Mahathir akan dilantik sebagai perdana menteri dan kemudiannya menyerahkan teraju kepimpinan negara kepada Anwar Ibrahim. Namun tiada tempoh masa khusus dinyatakan.

-Bernama
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here