Sweet Qismina bagi Adam Lee tempoh 3 tahun

0
341

Oleh NAFSIAH JANI

Percintaan pelakon, Sweet Qismina dan pelakon, Adam Lee bukan rahsia lagi. Percintaan yang mekar sejak Oktober tahun lalu ketika kedua-duanya bergandingan dalam drama, Adam Chempaka.

Selain drama Adam Chempaka hubungan ini semakin erat bila keduanya digandingkan dalam drama bersiri Aku Dia Dan Pinky Promise. Walaupun sudah genap setahun bercinta namun Sweet Qismina, 22, belum bersedia untuk mengahwini kekasih hatinya ini.

“Saya masih muda dan masih belajar lagi. Jadi bagilah kami masa untuk lebih mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat lagi. Adam pun baru 25 tahun dan baru nak kembangkan kariernya. Jadi bagilah kami masa untuk mencapai impian masing-masing terlebih dahulu.

“Mungkin bila umur saya dah cecah 24 atau 25 tahun barulah saya bersedia untuk bercerita mengenai perkahwinan kami. Itu pun setelah saya berjaya mencapai impian saya. InsyaAllah Ogos tahun depan baru saya habis belajar dan selepas itu banyak yang saya perlu fikirkan untuk masa hadapan.Doa-doakanlah hubungan kami berkekalan.

“Selain dunia lakonan, pelajaran ini nantilah backup saya andainya tiada tawaran berlakon nanti. Faham-faham sajalah dunia lakonan ini,pelakon wanitanya silih berganti kerana setiap hari ada saja muka-muka baru yang muncul,’’ kata Sweet yang bersedia untuk berumah tangga dalam masa tiga tahun lagi.

Sweet mengakui yang dia senang bercinta dengan Adam Lee. Sweet tak sangka hubungan daripada seorang kawan akhirnya bertukar menjadi hubungan yang lebih istimewa.

“Adam seorang lelaki yang baik, bertanggungjawab dan yang paling penting dia cukup menghormati orang yang lebih tua. Saya senang dan selesa bila keluar bersamanya kerana kami senang untuk berkongsi cerita atau pandangan mengenai hal-hal berkaitan kerja dan sebagainya. Dia juga banyak memberi semangat untuk saya terus belajar dan mencapai cita-cita saya.’’

Sweet atau nama sebenarnya,Farhanna Qismina Supandi kini sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) di Universiti dan Kolej SEGi.

Impian Sweet kini mengejar cita-citanya untuk membuka syarikat perhubungan awam sendiri. Sebelum ini Sweet pernah memenangi anugerah Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH).

“Jika ada rezeki saya nak buka syarikat yang menyediakan perkhidmatan perhubungan awam, pakar motivasi, pengacara majlis yang berprestij dan macam-macam lagi.

“Bukan itu saja, sebelum kahwin saya ingin hadiahkan sebuah rumah untuk mama saya sama ada rumah di Kuala Lumpur ataupun Shah Alam. Mama saya seorang ibu tunggal dan saya memang ingin mama mendapat kebahagiaan dan kesempurnaan dalam hidupnya. Itu sebabnya saya perlu bekerja keras bagi merealisasikan impian ini,’’kata anak keempat daripada lima beradik ini.

31 Oktober ini peminat Sweet boleh menyaksikan lakonannya dalam filem seram `PUSAKA’ yang bakal menemui penonton di pawagam-pawagam berdekatan. Filem arahan Razaisyam Rashid yang diterbitkan Astro Shaw dengan kerjasama Director’s Think Thank dan dipersembahkan produksi Alpha 47. Selain Sweet, filem ini turut dibintangi pelakon Syafiq Kyle, Mimi Lana, Faizal Hussein, Hafidz Roshdi, Ogy dan ramai lagi.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here