Oleh MUZLINA ABU BAKAR

SETIAP penyanyi mempunyai suara dan gaya nyanyian yang tersendiri kerana itulah yang membezakan mereka hingga mampu menarik ratusan ribu peminat membeli album mereka.

Disebabkan kelebihan dan keistimewaan mereka itulah mereka mampu bertahan sehingga hari ini.

Dan apabila menyebut nama Wann, penyanyi yang mula mencipta nama pada tahun 1988 dengan album pertamanya “Lamunan Hati” dan mencatat sejarah tersendiri apabila album “Nostalgia P. Ramlee” mencatat jualan sebanyak 60,000 unit hingga melayakkan Wann menerima Anugerah Platinum Disc. ada satu keistimewaan yang dimilikki penyanyi kelahiran Teluk Intan, Perak, ini!

Sesuatu yang menarik tentang Wann atau nama sebenarnya Wan Rashidah Meor Abdul Rashid,49, ialah suaranya!

Jika Allahyarham Datuk Sharifah Aini memikat para peminat dengan suara merdunya, Allahyarham Datin Rafeah Buang dengan suara serak-serak basahnya, Wann mampu menarik para peminat senisuara dengan suara terannya!

Itulah identitinya yang tersendiri! Suara teran Wann bukan sebarangan kerana suara terannya telah meletakkan dirinya setanding dengan penyanyi popular ketika itu.

Suara teran Wann itu juga telah membuat para wartawan hiburan ketika itu boleh menerima Wann tanpa ‘mengutuknya’ kerana itulah ‘keistimewaan dan uniknya’ suara Wann!

Dengan suara terannya juga telah meletakkan Wann antara artis paling muda dan berjaya ketika itu.

Bukan itu sahaja, malah Wann mampu memilikki kereta mewah dan mempunyai rumah dua tingkat pada usianya 21 tahun.

Itulah Wann, seorang artis dengan suara terannya yang terpilih untuk menyertai Gegar Vaganza 6 (GV6) setelah tiga kali menolak tawaran astro!

Bagaimanapun khabarnya dalam GV 6 ini, Wann tidak digalakkan menyanyi dengan suara terannya yang merupakan identiti Wann sejak 31 tahun dahulu.

Adakah ini semua gara-gara komen salah seorang juri GV6 yang juga penyanyi, Hetty Koes Endang yang menganggap suara teran Wann itu seksi dan lucah?

“Entahlah…Wann pun tak tahu nak cakap apa kerana itu memang identiti Wann. Cuma Wann tertanya-tanya, seksi dan lucah ke suara Wan?

“Sebenarnya apabila kita bercakap tentang seksi dan lucah ini ia adalah sesuatu yang subjektif.

” Sejak Wann bergelar penyanyi begitu cara Wann menyanyi. Bukan Wann buat-buat tetapi apabila menyanyi begitulah suara Wann.

“Kalau Wann buat-buat tentu ketika rakaman album dulu bermasalah. Tetapi tidak pernah pula yang komen suara Wann ni seksi dan ada unsur-unsur lucah.

“Namun demi menghormati teguran itu, Wann diminta kurangkan suara teran ketika menyanyi,” cerita Wann ketika kami berbual di telefon Jumaat lalu sebelum berlangsungnya GV6 minggu ketiga pada Ahad.

Walaupun kerana teguran itu Wann terpaksa mengurangkan suara terannya ketika menyanyi namun itu tidak sedikitpun melemahkan semangatnya untuk memberikan persembahan yang terbaik pada minggu ketiga GV6.

Pada minggu ketiga Ahad lalu, Wann dengan gaya tersendiri namun tidak lari dari identitinya menyanyikan lagu “Asmaradana” dan berjaya menduduki tempat ketiga pada malam itu.

Bercerita mengenai kesediaannya menyertai GV6, Wann yang telah
menetap di Singapura sejak 26 tahun lalu apabila berkahwin dengan Mohamed Thazah Hamzah,56, yang bertugas di bahagian satellite di MediaCorp dan ibu kepada dua orang anak, Mohamed Israfael,24, dan Natasha,22, berkata;

“Wann menerima tawaran ini kerana kerinduan pada bidang senisuara. Disebabkan dulu sibuk menumpukan perhatian membesarkan sendiri anak-anak, kini Wann punya masa untuk memenuhi minat Wann.

“Insyaa-Allah jika diizinkan-Nya, Wann akan muncul dengan single album tidak lama lagi.”

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here