Oleh AHMAD ABD HAMID

MAHKAMAH  Majistret Johor Bahru pada 28 Oktober membebaskan seorang jurujual, Sam Ke Ting, 24, daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga mengorbankan lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017.

Jika pihak pendakwa mahu, keputusan ini masih boleh dirayu ke Mahkamah Tinggi dan hingga ke Mahkamah Rayuan jika perlu.

Namun tulisan ini bukan bertujuan menyorot atau membahaskan keputusan yang dibuat oleh majistret Siti Hajar Ali.

Sebaliknya fokus tulisan menjurus kepada keghairahan berbasikal lajak, aktiviti berbahaya yang menjadi kegemaran remaja bawah umur.

Tragedi yang berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru itu adalah testimoni betapa aktiviti ini boleh mengundang padah yang parah sehingga mengorbankan jiwa.

Namun berapa ramai yang mengambil iktibar daripada kejadian ini? Mungkin sekadar ingat sebentar dan kemudian melupakannya.

Berbasikal lajak bermakna menaiki basikal dengan laju dan kerap kali secara melulu. Ia seperti merempit menunggang motosikal, biasanya juga dilakukan oleh remaja.

Kerap kali remaja berbasikal lajak ini bergerak dalam kumpulan. Masing-masing saling berlumba untuk menunjukkan siapa lebih laju dan siapa lebih hebat.

Kerana pergerakan laju dan secara berkumpulan ini menyebabkan sukar bagi penunggang mengawal basikal yang dinaiki.

Akibatnya, ada kalanya mereka berlanggar antara satu sama lain. Mereka juga mudah terbabas atau sukar mengelak dalam  situasi kecemasan.

Misalnya dalam keghairahan berlawan laju mereka mungkin tidak menyedari ada kenderaan di hadapan. Apabila sedar mereka sudah tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan tersebut.

Atau pun kenderaan tidak menduga kemunculan gerombolan penunggang basikal lajak yang tiba-tiba meluru tanpa sempat pemandu mengelak. Akibatnya sangat menggerunkan.

Pergerakan berkumpulan juga mengakibatkan jika berlaku kemalangan kesannya akan menimpa kesemua atau sebahagian besar dalam kumpulan berkenaan.

Keadaan lebih berbahaya pada waktu malam atau menjelang pagi. Andaian bahawa jalan raya sunyi pada waktu ini mendorong  penunggang basikal lajak ‘menguasai jalan’ dengan anggapan tiada bahaya akan menimpa.

Sunyi tidak bermakna tiada kenderaan di jalan raya. Dengan pemandangan kelam dan terbatas mengakibatkan mereka lebih terdedah kepada kecelakaan. Inilah yang berlaku dalam insiden lapan kematian di Johor Bahru itu.

Peristiwa menyayat hati ini diharap dapat menyedarkan ibu bapa khususnya mengenai  betapa tingginya risiko berbasikal lajak.

Justeru mereka mesti mengawal dan memantau anak mereka daripada terlibat dengan aktiviti yang kini sudah menjadi satu penyakit sosial di kalangan remaja.

Pihak polis juga mesti komited berusaha  membanteras gejala ini. Tindakan keras mesti diambil terhadap mereka yang terlibat, malah ibu bapa mereka juga wajar diambil tindakan.

Usah biarkan berbasikal lajak mempengaruhi remaja. Pilihlah aktiviti lain yang lebih berfaedah. Jangan mencipta atau mendedahkan diri sendiri kepada bahaya yang boleh membawa maut.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here