JAS Johor guna dron intip kilang

0
318

Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

 

PASIR GUDANG –  Seiring dengan perkembangan teknologi, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor  menggunakan  dron bagi mengenal pasti punca pencemaran di Pasir Gudang dan Tanjung Langsat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon yakin teknologi itu dapat meningkatkan keberkesanan tahap penguatkuasaan jabatan tersebut selain pemantauan biasa dan operasi bersepadu dengan pelbagai agensi berkaitan.

“Penggunaan dron ini kita percaya akan tingkatkan lagi tahap kecekapan JAS, khususnya di kawasan yang sukar dimasuki kenderaan dan tempat yang lebih dalam di kawasan perindustrian.

“Ini merupakan kaedah intipan juga yang kita berpendapat punca-punca pencemaran lebih mudah untuk kita kenal pasti,” katanya dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat mengenai Intipan Menggunakan Dron oleh Pengarah JAS Johor, Mohd. Famey Yusoff di Menara Aqabah, Pasir Gudang, di sini hari ini.

JAS Johor mula menggunakan teknologi dron yang boleh terbang setinggi 200 meter dan berupaya merakam imej serta video dengqn jelas termasuk pqda waktu malam sejak seminggu lalu.

Dalam pada itu,  Chen Choon meminta lebih 900 pihak industri di Pasir Gudang dan Tanjung Langsat yang telah diberikan notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya segera mengemukakan maklumat pengisytiharan bertulis punca pencemaran industri masing-masing.

Beliau memberi amaran tindakan tegas termasuk didakwa di mahkamah akan diambil sekiranya gagal membuat pengisytiharan itu dalam tempoh yang diberikan, iaitu paling lama 14 hari.

Pihak industri juga boleh memberikan maklumat tersebut secara dalam talian kepada JAS Johor.

Untuk rekod, isu pencemaran menjadi topik utama selepas berlakunya pencemaran toksik di Sungai Kim-Kim pada Mac dan kes serupa berulang pada Jun lalu sehingga menjejaskan banyak pihak di kawasan berkenaan.

– BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here