Bolos lapan gol bukan kayu pengukur Ifwat

0
255
MATYO (kiri) masih menambat perhatian Tan Cheng Hoe biarpun kerap digantikan Akhyar Rashid sebelum ini.

Oleh KAKI BANGKU


MELEPASKAN lapan gol dalam separuh akhir Piala Malaysia tidak bererti prestasi Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim sudah teruk sehingga tidak layak lagi dipanggil ke kem latihan pusat untuk menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 yang bermula Ahad ini.

Keadaan kedua-dua perlawanan dengan keputusan terikat 3-3 dan 5-5 di Alor Setar dan Kuantan itu berbeza malah tidak menggambarkan prestasi sebenar penjaga gol Kedah ini yang masih menepati cita rasa ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

Jauh sekali untuk mengandaikan jika sentimen kenegerian yang menjadi pertimbangan Cheng Hoe, bekas perantara Kedah dari 1988 hingga 1995, dalam menyenaraikan Ifwat di samping Farizal Marlias (Johor Darul Ta’zim – JDT) dan Khairulazhan Khalid (Selangor).

“Ifwat masih menepati kriteria atau piawaian kami barisan kejurulatihan pasukan negara. Dibolosi lapan gol (oleh Pahang, 19 dan 26 Oktober lalu) tidak boleh menjadi kayu pengukur kemampuannya semata-mata,” katanya kepada Bebas News.

Ifwat, 23, diketepikan kerana kecederaan ketika Malaysia tewas 1-0 kepada Vietnam dalam aksi Kumpulan G kelayakan di Hanoi dan membelasah Sri Lanka 6-0 di Bukit Jalil pada 10 dan 5 Oktober lalu lalu digantikan Khairulazhan.

Sebaliknya nama penjaga gol lampai Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy pula tercicir dalam senarai 26 pemain biarpun pemain Perak berusia 26 tahun itu menyertai skuad sejak kempen kelayakan ini, 5 September lalu.

Cheng Hoe, 51, dibantu oleh S. Balachandran dan Azmin Azram Aziz selaku penolong dan jurulatih penjaga gol Harimau Malaya yang akan menyambung aksi kelayakan dengan Thailand dan Indonesia pada 14 dan 19 November ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Skuad negara yang kekal menghuni ranking ke-158 dunia atau 32 Asia juga bakal memanaskan badan dengan persahabatan tahap 1 antarabangsa menentang Tajikistan (ke-116 dunia/22 Asia) juga di ‘kandang’ Harimau Malaya itu pada 9 November.

Cheng Hoe & Co. mengorak langkah kanan kempen Kumpulan G kelayakan dengan menewaskan Indonesia 3-2 di Jakarta namun kecundang kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 di Bukit Jalil pada 5 dan 10 September lalu.

Beliau turut mempertahankan kemasukan Norshahrul Idlan Talaha dalam pasukan negara sekalipun penyerang Pahang berusia 33 tahun ini tidak mampu menghabiskan 90 minit sepanjang ketiga-tiga perlawanan kelayakan.

“Saya tahu bukan mudah dan tidak akan mampu memuaskan kehendak semua pihak. Saya juga yakin dengan Matyo (gelaran Norshahrul) dan dia masih berminat menyarung jersi negara.

“Saya harap dia jadikan kata-kata negatif orang sebagai cabaran positif,” katanya.

Turut kembali mendapat tempat ialah perantara Kedah, Baddrol Bakhtiar yang kali terakhir menyarung jersi negara ialah pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia Kumpulan B menentang Lebanon, Korea Utara dan Hong Kong, tahun lalu.

Cheng Hoe setakat ini mengumpul lima kemenangan dengan Harimau Malaya sepanjang 2019 termasuk mengalahkan Afghanistan 2-1 (Piala Airmarine, Mac), Timor Leste 7-1 dan 5-1 (pusingan pertama kelayakan) serta Nepal 2-0 (persahabatan, Jun) – kesemuanya di Bukit Jalil.

IFWAT Akmal.

Senarai pemain negara

Penjaga gol: Farizal Marlias (JDT), Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah), Khairulazhan Khalid (Selangor).

Benteng: Adam Nor Azlin, Aidil Zafuan Radzak, La’Vere Corbin-Ong (JDT), Matthew Davies, Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim (Perak), Syahmi Safari (Selangor), Dominic Tan Jun Jin (Police Tero FC).

Perantara: Syamer Kutty Abba, Afiq Fazail (JDT), Nor Azam Azih, Brendan Gan (Pahang), Baddrol Bakhtiar (Kedah), Danial Amier Norhisham (Felda United), Azzizan Nordin (Sabah).

Penyerang: Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh (Pahang), Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, Syazwan Andik Ishak (JDT), Shahrel Fikri Fauzi (Perak), Farhan Roslan (Kedah).

– BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here