Dewan kecoh, Ahli Parlimen Pasir Salak digantung dua hari

    0
    284
    AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada persidangan Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

    KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman diarahkan keluar Dewan Rakyat hari ini dan digantung selama dua hari.

    Ia berikutan keingkarannya mematuhi arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon yang berkali-kali memintanya supaya tidak berdiri, mencelah dan mengganggu sesi persidangan Dewan Rakyat.

    Kekecohan bermula apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) meminta Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad yang mahu memulakan sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 bagi kementerian itu, digantikan dengan timbalannya, dengan alasan pihak pembangkang kurang senang dengan Khalid berhubung isu Kampung Baru.

    Khalid dengan tenang memaklumkan beliau sebenarnya ingin membangunkan kawasan itu kerana kerajaan terdahulu tidak melakukan pembangunan di situ.

    Bagaimanapun, kenyataan itu membangkitkan rasa tidak puas hati beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Tajuddin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera) dan Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang) sehingga berlaku pertikaman lidah dengan beberapa lagi ahli Parlimen kerajaan.

    Keadaan tegang berlarutan hampir 20 minit walaupun Mohd Rashid beberapa kali meminta kedua-dua pihak supaya bertenang dan duduk untuk menghormati persidangan dewan.

    “Ahli-ahli yang berhormat sila bertenang, Pasir Salak sila bertenang… jika berterusan saya akan minta keluar sebab sekarang ini sesi untuk menteri menggulung dan menjawab,” katanya.

    Walaupun diminta berbuat demikian, Tajuddin masih tetap mencelah menyebabkan Mohd Rashid meminta bentara mengiringi Tajuddin keluar dari dewan.

    Bagaimanapun, Tajuddin tetap enggan keluar, namun tidak dibenarkan menyertai sesi penggulungan.

    — BERNAMA
    Please follow and like us:
    error

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here