Nash tangguh Konsert Selamat Tinggal dunia seni

0
319
NASH dan Man Kidal akan mengadakan showcase di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 1 Disember ini

Oleh MUZLINA ABU BAKAR
KONSERT Selamat Tinggal pada dunia seni sempena ulangtahun kelahiran Nash yang ke-60 dan dijadualkan pada Oktober ini terpaksa ditangguhkan kepada satu tarikh yang belum ditetapkan.

Bagaimanapun konsert tersebut yang sepatutnya diadakan sebagai menutup diari perjalanan seninya selama 43 tahun dan dijadualkan berlangsung di Istana Budaya (IB) selama tiga malam akan diadakan sebelum berakhirnya tahun 2019.

Konsert yang akan diiringi oleh sebuah orkestra itu, selain menampilkan Nash sebagai penyanyi utama tiga artis akan diundang untuk mewarnai konsert itu.

Menurut Nash, konsert tersebut terpaksa ditangguhkan kerana masalah teknikal antaranya IB telah mempunyai acara lain pada tiga tarikh yang telah ditetapkan oleh pihak produksi konsert berkenaan.

Bukan itu sahaja, malah masalah teknikal yang melibatkan pihak produksi konsert juga memaksa Nash menangguhkan konsert berkenaan.

“Setelah melalui beberapa perbincangan, akhirnya saya dan pihak IB mengambil keputusan menangguhkan konsert itu bagi mengatur strategi yang lebih kemas bagi memastikan sebuah konsert yang hebat dan memuaskan hati para peminat,” janji Nash.

Nash memberitahu perubahan tarikh konsert itu memberi ruang kepada pihak produksi menyiapkan beberapa video klip sebagai mewarnai konsert itu nanti.

Pada konsert itu nanti, selain Nash, penerbit album dan penulis lirik akan diundang ke pentas sebagai penghargaan mereka di sebalik kejayaan Nash dan Lefthanded.

Nash atau Datuk Nashrudin Elias memberitahu selepas konsert tersebut beliau akan menumpukan perhatian kepada perniagaannya dan kerja-kerja amal.

“Jika selepas konsert itu nanti saya diundang menyanyi, saya hanya akan muncul pada konsert amal sahaja,” tegas Nash yang akan muncul dalam satu showcase selama tiga jam pada 1 Disember ini bersama Man Kidal di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.

Nash bersama Lefthanded memulakan kerjaya mereka di kelab malam di Johor dan KL sejak tahun 1976.

Selain Nash, Lefthanded turut dianggotai oleh Man Kidal, Yan, Samad dan Man Dayak. Mereka berlima mula mewarnai dunia seni tempatan pada 1979 di bawah syarikat rakaman Warnada.

Lefthanded kehilangan dua ahli kumpulannya apabila Samad (gitar) meninggal pada 23 Oktober 2008 dan Man Dayak (dram) meninggal pada 15 Mac 2016.

Selama sembilan tahun bersama, Lefthanded telah menghasilkan enam album antaranya “Keadilan” “Seruan” dan “Qabul.”

Pada tahun 1988, Nash meninggalkan Lefthanded untuk bergerak secara sendirian dan muncul dengan tiga album solo dengan album pertamanya “Pada Syurga di Wajahmu” dan diikuti dua album lagi iaitu, “Zahir Tak Terucap” dan “Nash 1993.”

Selepas muncul dengan tiga album solo, Nash menganggotai Lefthanded semula sehingga hari ini.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here