Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SEMUANYA di hujung jari. Sekali menaip berjuta-juta orang dapat membaca. Memang pantas kerana itulah kemudahan yang ada pada hari ini.

Kemudahan itu bagus jika digunakan dengan cara yang betul dan buruk padahnya jika disalah gunakan.

Lihat saja apa yang berlaku kepada tiga netizen yang memberi komen sesuka hati tanpa memikir perasaan orang lain. Tak salah untuk netizen komen pasal artis kerana mereka adalah public figure tapi yang jadi kesalahan apabila komen tanpa menggunakan akal fikiran.

Syabas diucapkan kepada Jasmin Hamid dan Rita Rudaini yang tampil memberi pengajaran kepada netizen agar perbuatan mereka itu tidak menjadi ikutan orang lain.

Sebenarnya kalau nak bercerita soal komen yang keterlaluan, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah di antara artis yang sudah berkoyan-koyan menerima komen berbaur negatif. Apa saja yang tak ditulis oleh netizen yang gemar menjadi hakim sendiri.

Jelas Siti, sudah lama pengurus dan pembantu peribadinya, Rozi Abd. Razak mahu mengikut jejak langkah Jasmin iaitu mengambil tindakan undang-undang sebagai peringatan kepada netizen yang tidak bertanggungjawab.

“Selama ini pihak Siti terlalu memberi muka kepada orang untuk menulis sesuka hati. Selepas kak Zie buat kenyataan itu (bakal ambil tindakan) mungkinlah tak ada yang berani. Selama ini ramai yang ambil kesempatan dengan menggunakan akaun palsu.

“Rasanya daripada tragedi artis yang ambil tindakan itu telah membuka mata kepada netizen lain untuk lebih beralas sikit bila buat komen. Siti akan elakkan orang yang tak sepatutnya masuk dalam Siti punya Instagram (IG). Jika Siti tahu dia menggunakan akaun palsu, terus block tak perlu nak fikir lama,” jelas Siti tentang pendiriannya mencegah perbuatan netizen yang tak bertanggungjawab.

Ternyata populariti Siti turut memberi tempias kepada anak kesayangannya, Siti Aafiyah yang mempunyai lebih daripada satu akauan IG rasmi.

Masih lagi bersangka baik biarpun beliau tahu di luar sana akaun palsu media sosial atas nama Aafiyah bercambah.

“Kak Rozie ada beritahu Siti yang akaun palsu Aafiyah banyak sangat. Siti tak kisah kalau mereka nak jadi peminat atau mengabadikan gambar Aafiyah, cuma jangan menyalah gunakan nama Aafiyah untuk akaun palsu bagi menjual produk. Tipu orang begitu tak naklah.

“Setakat ini Siti belum ambil tindakan untuk akaun palsu Aafiyah atau komen negatif terhadap diri Siti sebab Siti tahu dalam ramai-ramai tu bukan peminat pun. Sekarang ini sebab dah ada undang-undang, kadang-kadang kena ambil tindakan untuk mengajar netizen agar tak sesuka hati nak maki atau komen yang menjatuhkan maruah,” jelas Siti.
Tegas penyanyi itu, kali ini pihak pengurusannya, tak akan memberi muka lagi. Mana-mana yang difikirkan terlalu melampau, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang sebagai pengajaran kepada pihak berkenaan.

“Kalau lepas ni ada yang melampau kita akan ambil tindakan. Tak kisah apa pun termasuklah tentang karier Siti. Kalau orang berkenaan sentuh tentang maruah yang tak sepatutnya, kita akan fikirkan untuk diambil tindakan.

“Selama ini Siti berdiam bukan bermakna tak ambil kisah, Kak Zie rajin pantau dan akan beritahu Siti. Cuma kali ini saja, kita tak akan mendiamkan diri. Bukan apa sekadar nak beri pengajaran saja,” katanya terus terang.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here