Kementerian tidak pernah perkenalkan syarat, dasar baharu perbaharui lesen memandu-loke

Terdapat pihak dengan sengaja cuba mengapi-apikan pemandu lori ini untuk kepentingan tertentu sehingga menimbulkan kekeliruan dan tercetusnya mogok dalam kalangan pemandu lori baru-baru ini. 

1
293
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke bercakap dengan media pada Majlis Penutup Pertandingam Robotik Peringkat Kebangsaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kelpin. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN

SEREMBAN — Kementerian Pengangkutan sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah memperkenalkan syarat atau dasar baharu terhadap pemandu lori yang ingin memperbaharui lesen memandu.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata semua syarat dan dasar termasuk tindakan undang-undang yang diguna pakai ketika ini adalah sama seperti yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Katanya terdapat pihak dengan sengaja cuba mengapi-apikan pemandu lori ini untuk kepentingan tertentu sehingga menimbulkan kekeliruan dan tercetusnya mogok dalam kalangan pemandu lori baru-baru ini.

“Sebenarnya apa kita kuat kuasakan selama ini bukan benda baharu, semua syarat sedia ada sama ada jumlah saman, membawa muatan berlebihan, pemeriksaan kesihatan mahupun pembaharuan lesen memandu ia adalah di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang telah diluluskan di Parlimen sejak beberapa tahun yang lalu.

Ada pihak cuba mengapi-apikan sesetengah pemandu lori untuk kepentingan tertentu sehingga berlakunya kekeliruan dan menimbulkan sentimen agar pemandu lori mengadakan demo (demonstrasi),” katanya selepas menyempurnakan majlis Penutup Pertandingan Robotik MNSC Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Justeru, Loke berkata tidak timbul isu untuk mengkaji semula peraturan atau dasar yang berkaitan.

“Perkara ini di bawah bidang kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), saya tidak beri apa-apa arahan kepada Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid bahkan apa yang dikuatkuasakan adalah mengikut undang-undang sedia ada.

Saya telah mengarahkan KP KPJ untuk melihat memorandum yang dihantar pemandu lori semasa melakukan mogok dan saya telah minta beliau berikan penerangan persatuan pemandu lori,” katanya.

Khamis lalu, beberapa kumpulan pemandu lori bertindak mengadakan perhimpunan aman di beberapa lokasi seluruh negara, dalam usaha mendesak Kementerian Pengangkutan melonggarkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap khidmat pengangkutan perdagangan itu.

Selain pemeriksaan kesihatan oleh doktor bagi tujuan pembaharuan Lesen Kenderaan Perdagangan dan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam, mereka menggesa pertimbangan dalam isu saman tinggi, muatan berlebihan, pemeriksaan kenderaan, pengurangan waktu sekatan serta pengurangan mata demerit.

Kira-kira 500 pemandu lori berhimpun di perkarangan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya bagi menyuarakan tuntutan berkenaan sebelum menyerahkan memorandum kepada Loke yang diwakili Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Khairul Anuar Bachok.

— BERNAMA
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here