Projek pembangunan INS bernilai RM1.2 bilion dijangka siap 2022

0
638
MENTERI Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (kiri) mendengar penerangan dari Ketua Pegawai Eksekutif KIT International Group (KIG), Amir Mohamed (kanan) ketika melawat tapak pameran Institute of NeuroScience selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Institute of NeuroScience di Pedas, Rembau. STR/ADZLAN SIDEK

REMBAU — Projek pembangunan Institut NeuroSains (INS) yang dijangka siap pada 2022 membabitkan kos RM1.2 bilion bakal membawa perubahan memberansangkan kepada landskap sosio-ekonomi di daerah ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata sebaik INS pertama di Malaysia itu memulakan operasi sepenuhnya pada 2023, ia dijangka menyumbang sebanyak RM10.7 bilion kepada pendapatan kasar negara (GNI) sehingga 2033 selain mampu menjadi faktor tarikan pelaburan baharu ke negeri ini untuk mendorong pembangunan di kawasan sekitar.

Katanya, kerja pembinaan pusat perubatan atas tanah berkeluasan 4.04 hektar itu dijangka bermula pertengahan tahun hadapan dan bakal menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 1,300 orang khususnya rakyat Negeri Sembilan.

“Rembau adalah sebuah kawasan yang menfokuskan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian. Justeru, kehadiran INS akan memberi lonjakkan kepada pembangunan sosio-ekonomi setempat selain membantu menjayakan langkah transformasi ekonomi negeri daripada sektor pertanian dan pelancongan kepada sektor perubatan.

“Selain itu, kelebihan projek ini adalah ia akan menyediakan kemudahan pembiayaan insurans pada kadar rendah untuk golongan berpendapatan rendah (B40) manakala penjawat awam akan menikmati segala kemudahan pada harga diskaun.

“Ini membolehkan dua kumpulan sasar ini menerima rawatan berkualiti tinggi tanpa berdepan kos perubatan yang membebankan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah INS, di Pedas, di sini,hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KIT International Group (KIG), Amir Mohamed.

Aminuddin berkata, INS disasar menjadi sebuah institusi pelancongan perubatan terulung di negara yang akan menarik ramai pesakit neuro di rantau ini.

Beliau berkata, INS bakal mempunyai ekosistem lengkap bagi rawatan penyakit neuro meliputi komponen pusat perubatan, rehabilitasi, latihan serta penyelidikan dan pembangunan neurosains.

Selain itu, katanya, ia juga dilengkapi pusat kesihatan, Suite Kediaman Berbantu (Assisted Living Suite), kediaman kakitangan, Hotel INS, pusat konvensyen dan komersial serta Bazar Perpatih.

“Pusat perubatan NeuroSains akan menjadi teras utama kepada INS, dilengkapi peralatan diagnostik dan pembedahan terkini serta mampu menempatkan 200 katil untuk pesakit di bangunan setinggi 11 tingkat ini.

“Sebanyak 200 katil akan disediakan di Pusat Rehabilitasi Neuro bertujuan untuk penjagaan dan pemulihan pesakit serta pelbagai rawatan terapeutik.

“Selain itu, kemudahan Suite Kediaman Berbantu akan mempunyai 600 unit penginapan untuk menampung keperluan komuniti pengunjung manakala Hotel INS merangkumi 14 tingkat bertaraf empat bintang akan disediakan bagi membolehkan ahli keluarga mendapatkan penginapan sementara,” katanya.

BH
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here