Ragbi Piala Dunia milik Afrika Selatan lagi

0
285
KAPTEN Afrika Selatan, Siya Kolinsi menjulang trofi William Webb Ellis selaku juara Ragbi Piala Dunia 2019.

Oleh KAKI BANGKU

AFRIKA Selatan menyangkal label bukan pilihan pada mereka dengan menumpaskan England 32-12 untuk menjuarai Ragbi Piala Dunia (RWC) buat kali ketiga dalam perlawanan akhir edisi kesembilan, 2019 hari ini.

Menariknya Springbok menikmati trofi William Webb Ellis itu di Stadium Antarabangsa Yokohama, Yokohama, Jepun secara selang 12 tahun kerana kali pertama memenanginya pada 1995 dan diikuti, 2007.

Try Afrika Selatan dilakukan oleh winger, Makazole Mapimpi dan fulbek, Cheslin Kolbe pada minit ke-66 dan 74 serta dilengkapkan sepakan conversion Handre Pollard (67 dan 75).

Fly half itu turut menyempurnakan enam sepakan penalti minit ke-10, 26, 39, 43, 46 dan 58.

Kejayaan Afrika Selatan yang banyak berasaskan pertahanan kental dan ganas ini dianggap mengejut malah Springbok muncul pasukan pertama bergelar juara dunia setelah kalah pada peringkat Kumpulan B kepada All Black, 23-13, 21 September lalu.

Skuad kendalian Rassie Erasmus ini turut meleburkan hajat England yang dibimbing jurulatih Australia, Eddie Jones untuk membalas dendam kekalahan final RWC 2007 di Stade de France, Paris kepada lawan sama, 15-6.

Aksi di depan 70,103 hadirin termasuk tetamu kenamaan, Putera Mahkota Jepun, Putera Akishino dan Duke of Sussex United Kingdom, Putera Harry turut merakamkan kegagalan sulung Red Rose melakukan try dalam RWC 2019.

Kesemua mata England yang mulanya dilabel calon juara (keduanya selepas 2003) kerana membenam juara bertahan, New Zealand 19-7 dalam separuh akhir minggu lalu disumbangkan menerusi sepakan penalti kaptennya, Owen Farrell pada minit ke-23, 35, 52 dan 60.

Jurang kemenangan 20 mata yang memisahkan Afrika Selatan dan England ini pula merupakan yang terbesar sejak 1999 ketika Australia membenam Perancis 35-12 di Cardiff, Wales.

Kapten Afrika Selatan, Siya Kolinsi berkata, “Macam-macam masalah dan cabaran berlaku di tanah air kami. Kami datang daripada latar belakang dan bangsa berbeza tetapi dengan satu matlamat bersama untuk dicapai di sini.”

Kata Jones, “kami hanya tidak cukup bagus hari ini dan bergelut ketika memulakan permainan dan mahu mengasak. Afrika Selatan memang cemerlang, tahniah kepada mereka.”

KEPUTUSAN FINAL RWC

1987 Eden Park, Auckland, New Zealand:
New Zealand 29 Perancis 9
1991 Stadium Twickenham, London, England:
Australia 12 England 6
1995 Ellis Park, Johannesburg, Afrika Selatan:
Afrika Selatan 15 New Zealand 12
1999 Stadium Millenium, Cardiff, Wales:
Australia 35 Perancis 12
2003 Stadium Australia, Sydney, Australia:
England 20 Australia 17
2007 Stade de France, Saint-Denis, Paris, Perancis:
Afrika Selatan 15 England 6
2011 Eden Park, Auckland, New Zealand:
New Zealand 8 Perancis 7
2015 Stadium Twickenham, London, England:
New Zealand 34 Australia 17
2019 Stadium Antarabangsa Yokohama, Jepun:
Afrika Selatan 32 England 12

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here