Gol cantik Luqman: FAM calonkan, AFC tiada anugerah ala Puskas

0
208
LUQMAN Hakim Shamsudin (tengah) bersama ibu bapanya ketika majlis pengumuman tawaran menyertai kelab Belgium, September lalu.

Oleh KAKI BANGKU

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Michael Ramalingam menegaskan pihaknya tidak akan ‘serik’ untuk mencalonkan mana-mana gol cantik lagi bagi Anugerah Puskas termasuk jaringan hampir 50 meter oleh Luqman Hakim Shamsudin terhadap Kemboja, Sabtu lalu.

“Tidak bermakna kalau tidak masuk senarai pendek 10 terbaik Anugerah Puskas seperti tahun ini, kami tidak akan hantar lagi pencalonannya.

“Hantar itu memang boleh tetapi akhirnya terserah kepada FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa selaku penganjur anugerah) untuk memutuskannya,” katanya kepada Bebasnews.

Luqman menjaringkan gol keempat sebelum Malaysia memastikan kemenangan 5-4 dalam perlawanan Kumpulan G Kelayakan Bawah 19 Tahun AFC di Stadium Olimpik Kebangsaan, Phnom Penh biarpun dua pemain remaja negara dibuang padang.

FAM pernah mencalonkan gol rembatan Syahmi Safari sejauh 27 meter yang menyamakan kedudukan ketika menentang Thailand dalam separuh akhir pertama Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok namun gagal menyertai 10 terbaik FIFA.

Turut dicalonkan FAM ialah jaringan separuh padang oleh benteng import Pahang, Herold Goulon dari Perancis yang membolosi gawang Perak di Stadium Darul Makmur, Kuantan dalam separuh akhir Piala FA, Jun lalu.

Daniel Zsori dari Romania dinobatkan pemenang Anugerah Puskas 2019 di Milan, Itali, September lalu hasil jaringan libasan kaki kidal ala sepak takraw untuk kelab Hungary, Debrecen FC menewaskan Ferencváros TC 2-1 pada 16 Februari lalu.

Anugerah Puskas merupakan pengiktirafan gol tercantik dunia ini yang bersempena nama penyerang Hungary, Ferenc Puskas dari Hungary kerana koleksi besar jaringannya, 84 gol dalam 85 perlawanan antarabangsa.

Bekas pemain Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri meraih Anugerah Puskas FIFA 2017 di Zurich dengan gol sepakan bebasnya yang ‘menentang hukum fizik’ dalam Liga Super 2016 ketika menentang Pahang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Namun Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor John Paul memberitahu, anugerah yang mirip Puskas memang tidak pernah diwujudkan pihaknya termasuk apabila Anugerah Tahunan AFC dilangsungkan di Hong Kong, bulan depan.

“Kami memang tiada (Anugerah Gol Terbaik AFC) pada 2 Disember ini,” katanya.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here