Oleh Yusoff Ahmad Shariff

KUALA LUMPUR — Terbaharu timbul pula berita bahawa individu yang dikehendaki berhubung kes dan skandal 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa telah memperoleh pasport negara pulau Cyprus melalui broker kewarganegaraan terkemuka pada 2015.

Portal berita Malay Mail hari ini memetik akhbar berbahasa Greek di Cyprus, Cyprus Mail  bahawa Low dianugerahkan pasport negara pulau Mediterranean itu dengan bantuan sebuah broker pasport dan kewarganegaraan global Henley & Partners setelah mendapat tahu seawal empat tahun lalu bahawa beberapa negara mengehendaki beliau untuk dibicarakan.

Laporan tersebut disiarkan malam tadi oleh Sarawak Report.

Sarawak Report turut mendedahkan bahawa Low telah membina sebuah rumah mewah di pulau tersebut yang dianggarkan bernilai lebih €5 (RM23 juta).

Skim yang membolehkan Low memperoleh pasport itu lebih kurang sama dengan skim Malaysia My Second Home (MM2H) di mana pemastautin perlu mendepositkan sejumlah wang dalam sebuah bank negara pemastautin sekurang-kurangnya selama tiga tahun sebelum layak membeli sebuah rumah di situ.

Perbezaannya dengan Malaysia ialah di bawah MM2H pemastautin tidak dibenarkan mengundi atau mendapat kerakyatan.

Menurut Sarawak Report lagi, kunci rumah mewah yang sedang dalam pembinaan itu akan diserahkan dalam masa dua bulan lagi.

Sarawak Report telah cuba menghubungi pihak Henley & Partners tapi gagal mendapat respons.

Dakwaan terbaharu ini muncul hanya beberapa hari setelah tersebar berita tentang laporan bahawa Low ditawarkan suaka di Emiriah Arab bersatu (UAE) dan dikatakan kerap berulang-alik di antara Timur Tengah dan Eropah sejak Jun lalu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam reaksinya berkata dakwaan tersebut tidak logik dan mustahil memandangkan Low dikehendaki di beberapa negara dan umum mengetahui dia merupakan individu utama dalam apa yang dilihat sebagai ‘ jenayah terbesar abad ini”.

Menurut Abdul Hamid, negara UAE mempunyai sistem keselamatan yang ketat, termasuk kawalan di lapangan terbang dan kerjasama baik dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

-Bebasnews

 

Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here