Kogubest lancar portal e-dagang sebagai wadah baharu pemasaran

    0
    904
    ABDUL Fattah Abdullah (depan, tujuh dari kiri) bergambar bersama ahli-ahli Kogubest selepas merasmikan pelancaran portal Kogubestore di SK Bukit Jelutong di Shah Alam.
    Oleh Arrazaq Nazri

     

    SHAH ALAM -Koperasi Gurubesar Selangor Berhad (Kogubest) melancarkan portal e-dagang, www.kogubestore. com bagi pemasaran produk secara dalam talian di samping kaedah konvensional iaitu penjualan terus di kedai koperasi tersebut.

    Pengerusi Kogubest, Sukimin Juki ketika ditemui di sini pada majlis pelancaran portal Kogubestore tersebut berkata, apa yang membanggakan portal tersebut boleh diakses oleh orang ramai yang boleh mendapatkan produk diperlukan dengan harga borong yang lebih rendah di setiap koperasi yang menjadi ahli Kogubestore di seluruh negeri ini.

    Sukimi berkata, pihaknya membuat unjuran perolehan sebanyak RM7. 5 juta tahun hadapan setelah portal pemasaran produk Kogubestore tersebut mula dilancarkan di sini.

    Portal Kogubestore jelasnya, bukan semata-mata wadah pemasaran yang melangkaui kaedah konvensional yang fokus kepada keuntungan semata-mata, tetapi ia adalah konsep “membeli sambil menyumbang” yang mana hasil dijana daripada pembelian ahli Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) serta orang ramai.

    Konsep membeli sambil menyumbang ini kata Sukimi lagi, akan membantu PIBG di setiap sekolah mengumpul dana yang diperlukan untuk membantu penyelenggaraan sekolah atau berpotensi digunakan untuk menyediakan alatan-alatan kelas abad ke-21.

    Pengenalan platform Kogubestore tersebut selaras saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu gerakan koperasi memainkan peranan besar dalam membantu golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di bandar dan luar bandar bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

    Dr. Mahathir dalam ucapannya semasa program Amanat Perdana Menteri Bersama Gerakan Koperasi dan Majlis Countdown Halatuju Koperasi Selepas 100 Tahun di Cyberjaya September lalu menyatakan, sumbangan koperasi bukanlah semata-mata mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi perlu juga dilihat daripada aspek peningkatan kuasa beli rakyat yang membawa kepada kemakmuran bersama.

    Beliau berkata, koperasi adalah satu model keusahawanan sosial yang tidak menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama sebaliknya memberi manfaat dan kesejahteraan kepada anggota dan masyarakat.

    Sementara itu menurut Presiden Angkasa, Datuk Fattah Abdullah ketika berucap merasmikan portal e-dagang www.kogubestore.com di SK Bukit Jelutong semalam,
    portal e-dagang Kogubestore merupakan revolusi kaedah pembelian produk melalui pemasaran dalam talian yang memberi faedah kepada golongan B40.

    Portal tersebut adalah hasil usahasama Kogubest dan NCS Worldwide untuk memudahkan orang ramai khususnya rakyat Selangor mencari cawangan Kogubest yang menjual pakaian, alat tulis,bisnes pengurusan acara, lawatan sambil belajar dan lawatan keluarga.

    Fattah berkata, melalui platform portal yang dinamakan Kogubestore ini, Guru Besar sekolah yang terlibat akan dapat menyelaras proses pembelian produk dan perkhidmatan bagi keperluan sekolah daripada Kogubest dengan lebih mudah dan pantas.

    Bagi Guru Besar SK Taman Sri Andalas yang juga Ahli Lembaga Kogubest, Nor Azmi Rahmat, portal Kogubestore tersebut bukan sahaja mampu menjimatkan kos hidup rakyat tetapi ia juga menjadi wadah pemasaran produk yang lebih berdaya saing.

    Katanya, pihaknya berharap masyarakat setempat akan melawat portal tersebut dan boleh mendapatkan barangan persekolahan anak-anak mereka menjelang sesi tahun 2020 di koperasi sekolah yang menjadi ahli Kogubest.

    BebasNews
    Please follow and like us:
    error

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here