Oleh YUSOFF AHMAD SHARIFF

SINGAPURA – Pengendali pesawat tanpa pemandu (UA) akan berdepan dengan hukuman lebih berat bagi kesalahan yang dilakukan selepas rang Undang-Undang Navigasi Udara diluluskan oleh Parlimen Singapura hari ini (4 November).

Bercakap di Parlimen, Menteri Kanan Pengangkutan, Dr Lam Pin Min, mengumumkan beberapa hukuman lebih berat bagi kesalahan berhubung penggunaan UA agar dapat menangani masalah penggunaan alat tersebut.

Menurut laporan CNA hari ini, mereka yang tidak memiliki peralatan keselamatan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun bagi kesalahan pertama dan hingga lima tahun untuk kesalahan seterusnya.

Denda maksimum kekal pada kadar S$50,000 bagi kesalahan pertama dan S$100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Bagi pesalah yang menggunakan alat UA untuk mengambil gambar di kawasan larangan atau mengeluarkan apa-apa bahan tanpa kebenaran pula hukumannya ialah denda lebih tinggi dan penjara.

Dalam kes-kes di mana amaran oleh pihak berkuasa tidak dipedulikan, hukuman penjara maksimum akan dinaikkan daripada setahun kepada dua tahun dengan kadar maksimum S$20,000.

Hukuman penjara lebih tinggi dikenakan jika melakukan, menyebabkan atau membenarkan sebarang tindakan membabitkan penggunaan UA secara sengaja atau cuai walaupun tahu bahawa ia membahayakan pihak lain.

Pesalah akan berdepan dengan denda S$100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Selain itu semua alat UA yang berat melebihi 250gram wajib didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) bermula 2 Januari tahun hadapan, kata Dr Lam.

Yuran untuk mendaftar sebanyak S$15 dikenakan bagi setiap UA dan pengendalinya pula  perlu membeli label pendaftaran dan mengemukakan gambar alat UA yang telah dilekatkan dengan label pendaftaran CAAS.

Kerajaan Singapura memberikan tempoh tiga bulan dari 2 Januari bagi pemilik untuk mendaftarkan alat mereka dan dari 2 April undang-undang baharu itu akan mula berkuat kuasa.

-BebasNews

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here