SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa kutipan zakat hanya boleh diagihkan kepada lapan golongan asnaf, termasuk asnaf fakir, miskin dan mualaf dalam kalangan umat Islam sahaja.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani berkata, penegasan itu dibuat setelah menerima nasihat daripada mufti Selangor bahawa agihan zakat kepada bukan Islam hanya dibolehkan sekiranya ia menjadi panyebab individu terbabit memeluk Islam di bawah asnaf mu’allafati qulubuhum.

“Walaupun agama Islam adalah agama yang menekankan sifat perikemanusiaan, tetapi agihan zakat yang diperolehi daripada umat Islam hendaklah diberi kepada lapan golongan asnaf dalam kalangan umat Islam, terutama yang miskin dan memerlukan bantuan terlebih dahulu.

“Di negeri Selangor masih ramai orang Islam yang miskin di luar bandar dan juga miskin bandar yang perlu dibantu menggunakan hasil kutipan zakat. Ini kerana majoriti rakyatnya beragama Islam dan jumlah penduduk Islam semakin bertambah setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Munir, bagi orang miskin yang bukan beragama Islam, adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk membantu dan menolong mereka menerusi jabatan serta agensi yang ditetapkan.

Katanya lagi, sultan Selangor juga mengingatkan bahawa fungsi zakat dan cukai pendapatan merupakan dua perkara berbeza dan masyarakat diharap dapat memahami dengan jelas tujuan setiap badan tersebut ditubuhkan.

“Sultan Selangor meminta supaya isu berkaitan pengagihan zakat ini tidak lagi diperdebatkan secara terbuka di media massa. Baginda menyeru agar tiada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan isu berkaitan agama Islam untuk meraih populanti atau untuk mengambil hati mana-mana pihak tenantu.

“Sultan Selangor sekali lagi menegaskan bahawa hasil kutipan zakat di negeri Selangor akan kekal diagihkan kepada lapan golongan asnaf dalam kalangan umat Islam,” katanya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/11/04/sultan-selangor-zakat-hanya-diagih-kepada-orang-islam/
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here