[VIDEO] Barista Down Syndrome sensasi media social di Thailand

DI sebuah kafe di bandar raya Bangkok, seorang barista (pembancuh kopi terlatih) yang mengalami Down Syndrome tekun bekerja untuk melawan cemuhan masyarakat.

0
199

Oleh FETTY RARA

IBU barista, Thakolrat ‘Jin’ Prongsuwan, 28, pernah bercita-cita untuk memiliki kafe sendiri, tetapi malangnya beliau meninggal dunia akibat kanser dua tahun lepas sebelum impiannya itu dapat direalisasikan.

Sekiranya masih hidup beliau pasti berbangga melihat anaknya itu menghidupkan cita-citanya dengan penuh dedikasi.

Portal berita CNA melaporkan bagaimana nama Thakolrat ‘Jin’ Prongsuwan tiba-tiba menjulang setelah kisanya dikongsi dengan meluas dalam media sosial.

Popularitinya itu kini telah mentransformasikan kafe yang sebelum ini sunyi di Jalan Petchburi, Bangkok hingga menjadi begitu sibuk dengan pelanggan.

“Satu, dua, tiga, empat” kedengaran Jin mengira bilangan sudu gula yang dimasukkan ke dalam cawan penyukat, sementara pelanggan menunggu dengan sabar kerana maklum bahawa Jin seorang manusia istimewa.

“Saya buat kopi sehingga pukul 4.30 petang,” kata Jin. “Saya suka minum kapucino dan espreso ais.”

Mengimbau rentetan kemajuannya, Jin mula bekerja di Panya Cafe pada sejak ia dibuka pada Mei lalu. Dia bekerja bersama seorang rakan yang mengalami autisme untuk menyediakan kopi dan teh dari Isnin hingga Jumaat.

Perniagaan tersebut dimulakan oleh sebuah badan sukarela untuk kebajikan golongan cacat mental yang setakat ini membantu kira-kira 500 orang OKU untuk hidup seiring arus masyarakat.

Jin menyertai badan yayasan itu semasa berusia tujuh tahun, ketika dia masih tidak mampu bercakap walaupun sepatah perkataan.

Menurut Jabatan Kesihatan Mental Thailand, di negara itu kini terdapat kira-kira 650,000 orang yang mengidap kecacatan intelektual, tetapi hanya 10 peratus daripada mereka menikmati kemudahan penjagaan sempurna dan pemulihan. Dalam pada itu pada 2018 jabatan tersebut melaporkan bahawa 75 peratus OKU berusia dari 5 hingga 15 tahun tidak mendapat pendidikan formal.

Di Thailand hanya 30 sekolah dikhaskan untuk pendidikan khas dan tenaga pengajar pula amat berkurangan.

Pengerusi yayasan tersebut, Cherd Theerakiatikun berkata ramai ibu bapa tidak menyedari bahawa anak mereka mengalami ketidakupayaan mental dan mereka terpaksa dimasukkan ke sekolah biasa dan seterusnya berdepan dengan kepayahan untuk belajar dan bersaing.

Dan seperti dalam banyak masyarakat, golongan OKU ini dicemuh walaupun ia kian berkurangan berikutan pelaksanaan kempen kesedaran masyarakat .

Dengan hampir 90 peratus daripada mereka tidak bekerja, pihak keluarga menganggap mereka sebagai beban, kata Cherd.

Berbalik ke Panya Kafe, kegigihan Jin kini membuktikan bahawa manusia istimewa sepertinya mampu berjaya dan berdikari – dengan sokongan dan keprihatinan masyarakat.

-BebasNews

 

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here