KUALA LUMPUR — Seorang pekerja kontrak yang videonya tular berhubung kejadian membunuh kucing dipercayai bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri, hari ini dihukum penjara 34 bulan dan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang kerana mendatangkan penderitaan ke atas haiwan itu.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap K. Ganesh, 42, selepas mendapati tertuduh bersalah dan setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Setelah membuat penilaian maksimum terhadap hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan mahkamah mendapati tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan,” katanya dan memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan penjara empat bulan jika gagal membayar denda itu.

Beliau berkata dalam kes itu, tertuduh adalah individu yang memasukkan kucing dan mengunci mesin pengering pakaian di sebuah dobi.

“Saya harap hukuman ini dapat memberikan pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak menzalimi binatang,” katanya.

Lelaki itu bersama-sama seorang lagi yang telah dituduh didakwa dengan kejamnya atau secara tidak munasabah membuat atau meninggalkan untuk melakukan apa-apa perbuatan menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di premis dobi di Taman Gombak Ria, Batu Caves di sini antara 12.54 tengah malam dan 1 pagi, pada 11 Sept 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan mengikut akta tersebut adalah yang pertama dijalankan di negara ini sejak ia berkuat kuasa pada Julai 2017.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor, Roslan Mohd Isa memohon hukuman berat mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh telah menjadi tular sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

“Kes ini melibatkan seekor kucing spesies domestik dan kucing ini tidak memberi ancaman kepada tertuduh. Tertuduh langsung tidak menghormati nyawa dan tidak menganggap binatang juga ada hak untuk hidup.

“Kes ini telah didedahkan melalui rakaman dan ditonton oleh masyarakat sehingga menjadi tular dan berasa marah dengan perbuatan tertuduh,” katanya.

Peguam S. Muthuveeran yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman penjara dengan alasan anak guamnya tidak mampu membayar denda dan ini merupakan kesalahan pertamanya.

Muthuveeran juga memohon untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi dan mahkamah membenarkan dengan menaikkan jaminan daripada RM12,000 kepada RM20,000.

Pada 12 Sept lepas, mahkamah itu mengarahkan tertuduh untuk membela diri atas pertuduhan itu. Seramai lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan bermula 3 April lepas.

Pada 17 Jan, rakan Ganesh, pemandu teksi A. Mohanraj, 42, dihukum penjara dua tahun selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan sama manakala seorang lagi S. Satthiya, 27, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Sebelum ini, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan kejam tiga individu membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan cara memasukkannya ke dalam mesin pengering berkenaan.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut kemudian tersebar di media sosial dan menerima kecaman masyarakat sebelum Persatuan Haiwan Malaysia bertindak membuat laporan polis dan mereka ditahan pihak polis.

— BERNAMA 
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here