FOTO ATAS: Ikhsan Jabatan Pengawal Pantai Greece.

 

Oleh YUSOFF AHMAD SHARIFF

KUSHILA Stein, 45, yang berasal dari New Zealand diselamatkan setelah dijumpai hanyut di Lautan Aegean, utara Pulau Crete Ahad lalu.

Menurut bbc.com, sepanjang pengalaman yang begitu mencabar itu Stein hanya makan segenggam gula-gula dan membungkus tubuhnya dengan beg-beg plastik untuk mengelakkan kesejukan.

Sebagai seorang pelayar berpengalaman, wanita cekal ini memakai beg plastik merah di kepala dan menggunakan cermin kecil untuk menarik perhatian kapal atau bot yang berada di perairan tersebut.

Stein ditemui oleh pasukan Pengawal Pantai Greece pada lokasi kira-kira 101km di utara Crete.

Portal stuff.co.nz yang turut melaporkan tentang kehilangan Stein itu berkata ibunya, Wendy Stein  berpendapat mungkin anaknya terselamat kerana mempraktikkan latihan kecemasan di laut.

Sebelum kejadian Stein sedang membantu seorang lelaki British yang hanya dikenali sebagai Mike untuk membawa kapal layarnya dari selatan Turki ke Athens, Greece.

Pada Jumaat lepas beliau menaiki bot getah untuk melawat Pulau Folegandros, malangnya dalam perjalanan balik ke kapal satu daripada dayungnya tercampak ke air dan angin kencang menolaknya jauh ke tengah laut.

Apabila Stein tidak kembali ke kapal, lelaki British itu melaporkan kehilangannya kepada pihak berkuasa Greece pada pagi Sabtu.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan enam buah kapal, sebuah helikopter dan sebuah dron bawah air dilancar serta-merta.

Ketika hanyut di laut, Sten menulis nama serta alamat ibunya pada tepi bot getahnya kerana bimbang dia tidak akan dapat diselamatkan.

Bagaimanapun, pada pagi Ahad pihak pengawal pantai menjumpainya di perairan antara Crete dan Folegandros.

-BebasNews

 

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here