Haziq dipanggil, Azhan ganti Farizal?

0
156
SYAMER Kutty Abba (14) menggerakkan jentera tengah skuad negara menentang Maldives di Seremban, semalam. - Foto FAM

Oleh KAKI BANGKU

TAN Cheng Hoe membuat pusingan U mengejut dengan memanggil Muhammad Haziq Nadzli ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya mulai Isnin lalu bagi menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023, pertengahan bulan ini.

Ketua jurulatih negara itu menukar calon awal, Ifwat Akmal Chek Kassim dari Kedah untuk menamakan penjaga gol simpanan Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 21 tahun ini yang turut disenaraikan dalam skuad pelatih Sukan SEA Filipina pada hujung bulan ini.

Jika dibandingkan, Ifwat lebih banyak beraksi sebagai penjaga gol utama malah menganggotai barisan Helang Merah, naib juara Piala Malaysia selepas tewas 3-0 kepada JDT di Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Tindakan Cheng Hoe dianggap satu perjudian nekad biarpun Haziq juga muncul wira juara Piala Cabaran, 13 Oktober lalu ketika dipinjamkan kepada JDT II yang menyelamatkan tiga sepakan penalti penentuan untuk menewaskan UKM FC 6-5.

Haziq masih dikenang sebagai penyebab kempunannya skuad bawah 22 tahun negara meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur, dua tahun lalu gara-gara tumbukan bolanya ke gawang sendiri lalu tewas 1-0 kepada Thailand.

Semalam, bekas jurulatih Kedah itu menguji aksi penjaga gol pilihan kedua, Khairulazhan Khalid dalam kesebelasan utama Harimau Malaya yang menewaskan Maldives 2-1 pada perlawanan persahabatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.

HAZIQ Nadzli (tengah) dan Khairulazhan Khalid memanaskan badan di bawah tunjuk ajar jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Aziz (kanan). – Foto FAM

Gol-gol tuan rumah dalam perlawanan yang dijalankan secara tertutup dan tiga babak itu dijaringkan bek kanan, Syahmi Safari dan sepakan penalti perantara, Baddrol Bakhtiar masing-masing pada minit kelapan dan 72.

Tanpa penjaga gol utama, Farizal Marlias yang juga kapten negara, lilitan lengannya kali ini diserahkan kepada Shahrul Saad yang bergandingan dengan Dominic Tan Jun Jin selaku bek tengah sambil diapit Syahmi dan Matthew Davies.

Skuad negara menghuni ranking ke-158 dunia manakala Maldives bimbingan jurulatih kelahiran Croatia, Petar Segrt dari Jerman di anak tangga ke-154.

Tiga perlawanan pusingan kedua kelayakan Kumpulan G sejak 5 September lalu menyaksikan hanya aksi Farizal, penjaga gol utama JDT yang sudah dibolosi empat gol ketika Malaysia mengalahkan Indonesia 3-2 dan ditewaskan Amiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 dan Vietnam 1-0.

Skuad negara akan terus memanaskan badan dengan Tajikistan (ke-116 dunia) pula dalam perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa, Sabtu ini sebelum berdepan Thailand dan Indonesia bagi menyambung aksi kelayakan, 14 dan 19 November – kesemuanya di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here