FOTO: Tanaman hemp/ Creative Commons.

 

PUTRAJAYA — Penanaman hemp, sejenis tumbuhan herba daripada spesies Cannabis sativa, akan dibenarkan bagi tujuan penyelidikan pihak industri, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya kebenaran itu adalah di bawah Seksyen 6B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana menteri kesihatan mempunyai kuasa untuk memberi izin penanaman hemp, untuk pengeluaran serat dan biji sahaja bagi tujuan bukan komersial.

“Bagaimanapun tarikh pelaksanaan kebenaran ini masih belum dapat diputuskan. Ia bergantung kepada perbincangan bersama Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli,” katanya kepada media selepas merasmikan 18th Annual Scientific Congress of Asia Pacific Association of Medical Toxicology 2019, di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly turut menegaskan bahawa penanaman kanabis bagi tujuan perubatan dan sebagainya, masih tidak dibenarkan selagi undang-undang tidak dipinda.

“Kebenaran untuk penanaman hemp tidak melibatkan penanaman kanabis. Saya harap orang ramai tidak keliru,” katanya menambah penanaman hemp dibenarkan kerana serat yang dihasilkan boleh digunakan dalam kosmetik.

Menurut laporan media, hemp mempunyai kandungan ganja pada kadar sangat rendah, berbanding potensinya dalam beberapa industri termasuk tekstil.

Sementara itu, Pengarah Kanan Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Dr Ramli Zainal berkata terdapat banyak prosedur operasi standard (SOP) yang perlu digariskan berikutan kebenaran penanaman hemp.

“Ini termasuklah siapa yang akan import, siapa yang akan tanam, tanah yang bagaimana sesuai untuk ditanam hemp, berapa lapis dan tinggi pagar,” katanya sambil menambah Kementerian Kesihatan akan menyediakan garis panduan bagi penanaman hemp.

Menurut Dr Ramli, kebenaran penanaman hemp itu merupakan keizinan pertama yang diberikan Kementerian Kesihatan, di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Untuk hemp ditanam bagi tujuan komersial atau secara besar-besaran, ia  memerlukan satu lagi keputusan,” katanya.

— BERNAMA
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here