Bekas kakitangan Utusan ditawarkan peluang kerja – Perkeso

0
336
KAKITANGAN Utusan Melayu (Berhad) membuat pendaftaran Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), dikaunter Sistem Insurans Pekerjaan, Wisma PERKESO, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 815 kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang diberhentikan secara mengejut pada 9 Oktober lalu, digesa merebut peluang pekerjaan melalui sesi temu duga terbuka melibatkan pelbagai majikan pada 17 dan 18 November ini.

Ketua Pegawai Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso, Datuk Mohd. Sahar Darusman berkata, sesi yang diadakan di Wisma Perkeso, di sini menawarkan 1,669 jawatan kosong dalam semua sektor dengan keutamaan diberikan kepada pekerja yang mencarum dengan SIP.

“Kami amat prihatin dengan kes kehilangan pekerjaan di Utusan Melayu dan akan cuba sedaya upaya membantu bekas kakitangannya. Setakat hari ini, 398 daripada mereka telah memfailkan tuntutan dengan SIP.

“Kami telah mengadakan taklimat di ibu pejabat Utusan 30 Oktober lalu dan hari ini mempelawa mereka yang belum berdaftar dengan SIP supaya berbuat demikian di Wisma Perkeso atau 54 cawangan kami di seluruh negara atau menerusi portal atas talian, eis.perkeso.gov.my.

“Hari ini juga kami mengatur sesi temu duga dengan tiga majikan bumiputera yang berkaitan percetakan seperti MPH Group Printing Sdn. Bhd., Percetakan Mesbah Sdn. Bhd. dan Percetakan Zainon Kassim Sdn. Bhd.

“Antara jawatan yang ditawarkan ialah kerani, ilustrator, pereka bentuk, pegawai pemasaran, penghantar cepat, pencetak laman, operator mesin dan penyelia pengeluaran,” katanya di Wisma Perkeso hari ini.

Mengenai SIP katanya, para bekas kakitangan Utusan yang contohnya bergaji bulanan RM4,000, layak menikmati elaun ganti sementara pendapatan atau Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sehingga RM3,160 bagi bulan pertama selepas mendaftarnya yang diproses permohonan antara seminggu hingga 14 hari.

“Bagi bulan kedua, EMPnya ialah RM1,975 dan ketiga dan keempat, RM1,580 dan kelima, RM1,185. Mereka juga layak mengikuti program latihan penempatan semula pekerjaan di sektor berlainan dan keusahawanan Perkeso.

“Buatlah tuntutan SIP secepat mungkin dalam tempoh 60 hari selepas diberhentikan kerana mungkin ada masalah lain yang boleh timbul apabila syarikat sudah dihentikan operasinya dan diambil alih liquidator tetap (mulai semalam).

“Sebenarnya pekerjaan lebih penting daripada bantuan kewangan yang hanya boleh diberikan selama lima bulan kerana kami faham kebanyakannya sudah berpengalaman 20-30 tahun dan mempunyai komitmen bayaran ansuran kereta, rumah dan belanja persekolahan anak-anak,” katanya.

Fakta dan angka Perkeso setakat ini
* 33,906 orang kehilangan pekerjaan pelbagai sektor
* 14,283 orang kembali bekerja
*56% orang yang kehilangan pekerjaan ialah di Selangor dan Kuala Lumpur
* 1,669 kekosongan jawatan antara Oktober hingga November 2019 (27 pengurus, 165 profesional, 109 juruteknik, 84 pekerja sokongan perkeranian, 185 pekerja jualan dan perkhidmatan, 59 pekerja dagangan dan kraf, 807 operator kilang dan mesin, 233 pekerjaan tahap rendah.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here