FOTO: Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour pada sidang media Perundingan Awam Had Urus niaga Tunai di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia. NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQ

 

KUALA LUMPUR — Malaysia bercadang menguatkuasakan had transaksi tunai harian (CTL) sebanyak RM25,000 mulai tahun depan untuk memperkukuh integriti kewangan negara.

“Ini untuk menangani penyalahgunaan wang tunai yang digunakan untuk kegiatan haram,” kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC), Datuk Rasheed Ghaffour.

Bagaimanapun, industri dengan urus niaga tunai yang besar seperti peniaga bernilai tinggi, pelancongan perubatan, hotel dan borong dikecualikan daripada CTL, katanya pada taklimat media di sini hari ini.

Langkah itu terpakai bagi semua transaksi melibatkan pembayaran wang tunai bagi barangan dan perkhidmatan dan derma dan pindahan antara pihak-pihak, yang terpakai ke atas individu, perniagaan dan entiti lain.

Industri dengan transaksi tunai pada jumlah banyak yang mungkin terkesan dengan CTL adalah peniaga nilai-tinggi, pelancongan perubatan, hotel, dan borong, katanya dalam taklimat media di sini, hari ini.

“Bagaimanapun, terdapat dua pengecualian penting untuk diambil perhatian. Pertamanya, sebarang transaksi tunai kepada atau dengan institusi kewangan adalah dikecualikan. Sebagai entiti yang dikawal selia, institusi ini sudah tertakluk dengan syarat ketat berhubung pengubahan wang haram atau pencegahan pembiayaan keganasan.

“Keduanya, transaksi tunai untuk tujuan seperti bantuan kemanusiaan juga (akan) dikecualikan  daripada mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan atas syor Bank Negara Malaysia,” kata  Abdul Rasheed.

Katanya langkah itu tidak akan menjejaskan isirumah susulan libat urus NCC dengan lebih 1,000 individu di seluruh negara mendedahkan bahawa urus niaga tunai tunggal secara purata dalam kalangan kumpulan pendapatan Bawah 40 peratus (B40) adalah RM2,284, kumpulan pendapatan sederhana 40 peratus, M40 (RM4,104) dan kumpulan pendapatan tinggi 20 peratus, T20 (RM7,843).

Bank pusat juga telah mengadakan libat urus dua hala dengan pelbagai persatuan perniagaan.

“Penglibatan kami dengan individu mencadangkan transaksi tunggal melebihi RM25,000 secara tunai adalah benar-benar (tidak pernah berlaku sebelum ini). Ini juga dapat dilihat dengan purata jumlah perbelanjaan isi rumah merentasi pelbagai peringkat pendapatan.

“Jumlah purata perbelanjaan wang bagi isirumah T20 adalah sekitar RM8,000 sebulan, yang sebenarnya adalah di bawah had. Tidak ada sebab mengapa orang-orang ini akan terjejas oleh cadangan ini, ” kata Abdul Rasheed.

Beliau berkata objektif langkah menguatkuasakan CTL ini adalah bersifat serampang dua mata, iaitu, untuk melengkapkan rangka kerja Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan di Malaysia dan menghantar isyarat bahawa berselindung di sebalik tanpa nama untuk mendapat manfaat daripada aktiviti haram tidak akan dikompromi.

Pada Januari, BNM menurunkan laporan had tunai harian (CTR) dari RM50,000 kepada RM25,000.

Sehingga September 2019, lebih lima juta laporan CTR diterima, mewakili kira-kira RM483 bilion dalam transaksi tunai.

Abdul Rasheed berkata sebarang niat untuk melakukan kesalahan berkaitan dengan langkah dicadangkan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi tiga kali agregat jumlah atau nilai transaksi pada masa kesalahan itu dilakukan.

Beliau berkata cadangan CTL itu bukan perkara baharu atau unik bagi Malaysia kerana banyak negara Eropah seperti Perancis, Itali dan United Kingdom telah melaksanakan langkah itu sejak sekian lama.

“Malah negara jiran kita Indonesia turut mencadangkan langkah serupa,” katanya.

Beliau berkata CTL akan terletak di bawah Rang Undang-Undang Mata Wang, yang telah dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen pada Julai tahun ini dan bacaan kedua dijadual pada Disember.

Rang Undang-Undang itu akan memastikan  BNM kekal menjadi badan autoriti tunggal berhubung mata wang Malaysia.

“Rang Undang-Undang itu akan memberi kami ketetapan bagi menentukan had transaksi tunai,” katanya.

Abdul Rasheed berkata bank pusat akan memulakan perundingan awam untuk CTL minggu depan.

Bank pusat akan berkongsi hasil daripada perundingan awam itu, bergantung kepada maklum balas yang diterima melalui pelbagai kaedah termasuk laporan tahunan.

“Kami mahu mendengar pendapat orang ramai terlebih dahulu. Pada masa lepas, jika anda melihat dasar awam, biasanya (mengambil) kira-kira enam bulan untuk melaksanakannya. Ia boleh lebih awal, bergantung kepada maklum balas orang ramai, ” kata Abdul Rasheed.

Dokumen Perundingan Awam CTL akan diterbitkan di laman web BNM – www.bnm.gov.my – mulai 11 Nov 2019 pada 3 petang.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas bertulis hendaklah dikemukakan pada 31 Dis, 2019, ke alamat e-mel di [email protected] atau WhatsApp di +60193019141.

— BERNAMA
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here