PUTRAJAYA — Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Malaysia tetap dengan prinsip tidak mencampuri hal ehwal dalaman negara lain, selaras prinsip negara anggota ASEAN.

Mengulas mengenai penahanan Naib Presiden Cambodia National Rescue Party (CNRP), Mu Sochua oleh Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi, Dr Mahathir berkata Malaysia tidak mahu bertentangan dengan kerajaan negara lain berhubung perkara itu kerana ia bukan urusan negara ini.

“Prinsip kita dalam ASEAN, kita tidak mencampuri hal ehwal dalaman negara lain.

“Kita mahu mengusir dia (Sochuan), (tetapi) orang mahu dia datang balik ke sini. Sekarang kita sedang cuba mencari mana-mana negara yang mahu mengambil beliau.

“Kita tidak mahu bertentangan dengan kerajaan negara lain kerana ia bukan urusan kita. Mereka ini buat jenayah di negara lain.

“Tindakan (penahanan) itu kerana jenayah yang dilakukan, bukan kerana kesalahan itu dilakukan di sini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini mengesahkan Sochua ditahan Jabatan Imigresen di KLIA malam tadi dan

beliau turut mengakui ada menerima permintaan daripada kerajaan Kemboja untuk menghantar pulang wanita berkenaan yang juga pemimpin parti pembangkang yang diharamkan di negara itu.

Minggu lalu, Thailand menolak kemasukan Sochua ketika tiba ke lapangan terbang antarabangsa di Bangkok, sebelum wanita itu terbang ke Indonesia dan mengadakan satu sidang media di negara berkenaan.

Media antarabangsa melaporkan, Kemboja dipercayai menahan sekurang-kurangnya 48 aktivis pembangkang tahun ini atas tuduhan merancang menggulingkan Perdana Menteri negara itu, Hun Sen.

-BH
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here