Calon PH perlu ‘kejar’, BN mendahului?

0
341
KARMAINE Sardini (kanan) berkempen dan menemui para pengundi Kukup, kelmarin.

Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

PONTIAN – Hampir seminggu berlangsung, suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semakin rancak.

Seperti dijangka, tinjauan Bebasnews mendapati calon dan parti yang bertanding menjelajah ke semua kawasan untuk berjumpa dengan seramai mungkin pengundi.

Nyata ‘pertembungan’ sebenar antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Calon PH, Karmaine Sardini dan calon BN, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng sentiasa bergerak menemui para pengundi.

Tumpuan turut diberikan terhadap pengundi muda berusia 40 tahun ke bawah yang merupakan 37 peratus daripada keseluruhan 53,000 pengundi.

Hasil tinjauan dan maklumat yang diperoleh, sokongan terhadap calon BN mendahului calon-calon lain.

WEE Jeck Seng (berucap) sentiasa dibantu oleh pucuk kepemimpinan BN semasa berkempen pada PRK Tanjung Piai.

Jika momentum berkenaan berterusan dan sokongan diterjemahkan dalam bentuk undi pada 16 November ini, Jeck Seng dikatakan mampu merampas semula kerusi tersebut yang dimenangi oleh PH menerusi Allahyarham Datuk Dr. Farid Md. Rafik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Malah, kelebihan memang memihak kepada Jeck Seng kerana beliau sudah dikenali di kawasan tersebut kerana pernah menjadi wakil rakyat di situ selama dua penggal.

Cuma beliau ‘terlepas’ kerusi itu apabila tewas dengan majoriti tipis, iaitu 524 undi kepada Mohd. Farid pada PRU14 lepas.

Difahamkan, sokongan kaum Cina yang merosot pada PRU14, kini semakin meningkat dan undi Melayu, khususnya penyokong UMNO dan Pas tetap kuat terhadap BN walaupun pada awalnya sedikit ‘tergugat’ kerana mereka mengharapkan calon daripada UMNO yang dipilih untuk bertanding.

Karmaine pula, walaupun merupakan anak jati Tanjung Piai, tetapi beliau dianggap agak ‘baharu’ kerana menetap di Johor Bahru.

Namun, latar belakang dan personaliti beliau sebagai bekas imam di sebuah masjid di Perling serta seorang yang lemah lembut turut memberi kelebihan.

Pada PRU14, beliau tewas dengan majoriti 833 undi kepada Datuk Seri Ahmad Maslan di kerusi Parlimen Pontian.

Kenyataan beliau supaya rakyat bersyukur walaupun harga kelapa sawit RM270 setan turut dimainkan sebagai bahan kempen oleh pihak lawan selain isu kegagalan PH untuk menunaikan manifesto PRU yang lalu.

Calon-calon lain, S. Wendy yang mewakili Gerakan, Datuk Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Berjasa dan dua calon Bebas, Dr. Ang Chuan Look dan Faridah Aryani Abd. Ghaffar dilihat tidak mampu memberi saingan sengit kepada calon PH dan BN.

Apa pun, semua calon masih ada masa seminggu lagi untuk bergerak dan berjumpa dengan seramai mungkin pengundi sebelum hari pengundian 16 November ini.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here