‘Demamkan’ perihal Rasulullah SAW

0
270
Oleh AHMAD TARMIZI ABDUL RAHIM

 

JIKA dibuat kuiz mengenai Rasulullah SAW yang menawarkan hadiah lumayan agaknya adakah umat Islam di negara ini yang berjaya menjawab dengan tepat? Misalnya apabila ditanya apakah nama unta Baginda, berapa jarak perjalanan Perang Tabuk, berapa ramai sahabat Baginda semasa pembukaan Kota Mekah atau Apakah nama tempat bonda Rasulullah meninggal dunia?

Yang pasti apabila diajukan soalan tentang artis, lagu dan filem, pasti ramai yang berebut-rebut
menjawab – walaupun mungkin bukan sebab hadiah tetapi kerana terlalu arif mengenainya.

Ini adalah hakikat, walaupun pahit untuk ditelan.

Tidak salah jika dikatakan segelintir umat Islam mengingati Rasulullah hanya semasa sambutan
Maulidur Rasul, itu pun setelah membaca laporan sambutan dalam media atau kerana tarikh sambutan itu adalah cuti umum.

Siapa itu Nabi Muhammad SAW perlu ‘didemamkan’, sama seperti sambutan perayaan besar lain di negara ini yang diatur pelbagai persediaan rapi menjelang ketibaannya. Misalnya, sambutan hari kemerdekaan negara. Saban tahun sebulan sebelum tarikh keramat 31 Ogos, dilancarkan bulan kemerdekaan dengan pelbagai pengisian dirangka sehingga ke hari kemuncaknya.

Sepatutnya, sambutan Maulidur Rasul juga turut tidak terkecuali. Pengisian 9 Rabiulawal perlu
diperkasakan.

Untuk maklumat bersama, tarikh 12 Rabiulawal adalah pendapat masyhur sejarawan Islam (Sirah ibn Ishaq), tetapi tarikh yang mengatakan 9 Rabiulawal lebih menepati perkiraan Falak Syarie.

Jangan pening-pening dengan tarikh mana yang perlu dipercayai kerana itu bukanlah isu utama tetapi yang perlu difokuskan ialah meneladani ajaran Rasulullah.

Sekurang-sekurangnya sebulan sebelum tarikh mulia itu kerajaan dan agensi berkaitan boleh menggandakan usaha memperkenalkan Rasulullah kepada semua dengan kemuncaknya ialah hari perarakan sambutan.

Antara yang boleh dipertimbangkan ialah Bulan Sunah Nabi SAW peringkat kebangsaan dengan
memperkenalkan sunah Baginda yang merangkumi segala aspek kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Manfaatkan sepenuhnya media arus perdana untuk memperkenalkan siapa itu Rasulullah dengan menggunakan pendekatan santai yang boleh difahami oleh setiap lapisan masyarakat sama ada Islam
atau sebaliknya.

Ini kerana Baginda bukan milik eksklusif orang Melayu atau Arab, tetapi menjadi utusan Allah kepada semua manusia.

Firman Allah: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya (diutus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan kalimah-Nya (kitab-Nya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk.” (al-A’raf [7:158]).

Signifikan daripada ayat tersebut, umat Islam jangan jadi kedekut untuk memperkenalkan
Rasulullah kepada bukan Islam. Ini kerana moyang kita dahulu memperoleh nikmat Islam daripada pendakwah yang asalnya bukan beragama Islam tetapi memeluk Islam setelah diajar oleh Baginda
melalui para sahabat dan tabiin.

Kepada umat Islam termasuk penulis yang kurang mengenali Rasulullah, masih belum terlambat untuk menimba ilmu bagi mengenali Baginda dengan lebih dekat.

Tak kenal maka tak cinta, tetapi apabila sudah cinta janganlah pula abaikan cinta itu. Ini kerana di akhirat kelak, kita semua amat mendambakan syafaat dan teduhan Rasulullah.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here